PETALING JAYA: OCBC Bank meramalkan negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran kerajaan antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
Ketua Ekonomi OCBC, Selesa Ling sebaliknya menyifatkan ramalan kerajaan tersebut agak optimistik, mengambil kira cabaran struktur yang dihadapi dari segi pemulihan tahap penggunaan.
Malah katanya, berasaskan tinjauan eksport yang positif, pihaknya meramalkan pertumbuhan KDNK negara untuk 2021 adalah pada kadar 3.2 peratus.
“Walaupun momentum lebih kukuh amat menggalakkan, kadar pertumbuhan mungkin tidak setinggi unjuran rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Selena berkata, walaupun kadar pemvaksinan yang tinggi sepatutnya meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh untuk menentang sebarang serangan pandemik tahun ini, ketidakpastian yang timbul masih membelenggu aktiviti pelaburan dan penggunaan.
Bagaimanapun katanya, inisiatif pembukaan semula sektor sudah pasti merangsang ekonomi.
Tambah beliau, perlu disedari bahawa skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjadi sebahagian penting daripada pakej rangsangan telah menyebabkan simpanan isi rumah merosot, dan masa mungkin diperlukan untuk mengisi semula tabungan, lantas menjejaskan pertumbuhan penggunaan pada tahun-tahun akan datang.
“Kekurangan simpanan KWSP bagi sebahagian besar rakyat Malaysia perlu diberi perhatian dan mungkin menjejaskan tahap penggunaan persendirian dalam usaha mencapai pemulihan.
“Justeru, walaupun kami setuju dan benar-benar berharap bahawa cabaran paling getir pandemik telah berlalu, kami berpendapat tahap pemulihan tidak sekukuh seperti yang diandaikan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










