PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Lim Chee Sing sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee/MPC).
Tempoh pelantikan ini adalah selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2022.
Menurut BNM, Lim berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi RHB Research Institute Sdn. Bhd. dari 2013 hingga 2017.
Beliau juga merupakan Ketua Ekonomi RHB Banking Group dan ahli strategi pasaran ekuiti untuk pasaran Malaysia di RHB Research Institute.
“Lim memulakan kerjaya beliau sebagai ahli ekonomi di BNM pada 1981 selama hampir 11 tahun. Selepas itu, beliau menyertai RHB Research Institute sebagai ahli ekonomi serantau dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyelidik.
“Lim berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus mengalu-alukan kehadiran Lim sebagai anggota MPC yang akan menyumbangkan pelbagai kepakaran dan pengalaman.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Dr. Gan Wee Beng atas sumbangan beliau terhadap perumusan dasar monetari Bank sepanjang tiga tahun lepas. Kami berharap beliau terus berjaya dalam apa-apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan,” katanya.
Dr. Gan akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai anggota luar MPC pada 1 April 2022 selepas berkhidmat sebagai anggota luar MPC sejak 1 April 2019.
Di bawah Akta BNM 2009 (CBA 2009), MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.
CBA 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar MPC.
Anggota MPC terdiri daripada:
(1) Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus
(2) Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour
(3) Timbalan Gabenor, Jessica Chew Cheng Lian
(4) Timbalan Gabenor, Marzunisham Omar
(5) Penolong Gabenor, Norzila Abdul Aziz
(6) Penolong Gabenor, Dr. Norhana Endut
(7) Datuk Dr. Gan Wee Beng (anggota sehingga 1 April 2022)
(8) Nor Zahidi Alias
(9) Lim Chee Sing – UTUSAN










