PETALING JAYA: Pemaju hartanah, LBS Bina Berhad (LBS) menjangkakan pencapaian yang lebih baik pada 2022 dengan sasaran jualan sebanyak RM1.6 bilion.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan pencapaian membanggakan pada tahun lalu dengan jualan RM1.575 bilion, iaitu 31 peratus melebihi sasaran awal.
Ujarnya, jualan memberangsangkan itu berjaya dicapai walaupun berdepan persekitaran tidak menentu akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.
“Kami optimis pasaran hartanah akan kembali bangkit pada tahun ini dan varian Omicron yang melanda dilihat tidak terlalu memberikan kesan.
“Untuk tahun ini, kami bercadang melancarkan 14 projek baharu meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak berjumlah 3,733 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion.
“Ketika ini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.3 bilion,” katanya pada taklimat media tahunan LBS di sini semalam.
Sehingga 31 Disember 2021, simpanan tanah masa depan LBS dianggarkan berjumlah 1,097.6 hektar, yang membolehkan pemaju hartanah itu kekal relevan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun.
Di samping itu, LBS mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM 2.304 bilion, dijangka memberikan impak pendapatan yang jelas untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menurut Hock San, LBS berhasrat melancarkan 2,604 unit hartanah dengan jumlah GDV sebanyak RM1.11 bilion di Lembah Klang.
“Ia khusus bagi perbandaran KITA @ Cybersouth yang menyaksikan pelancaran 2,128 unit hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM853 juta.
“LBS turut merancang untuk melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana yang terdiri daripada 321 unit hartanah dengan GDV sebanyak RM120 juta serta sejumlah 155 unit Astella di D’Island Residence dengan jumlah GDV RM132 juta,” ujarnya.
Tambah beliau, LBS turut menyokong penuh inisiatif kerajaan Selangor bagi segmen pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat menerusi projek MBI Rumah Selangorku Idaman dengan pembinaan 7,210 rumah mampu milik di enam lokasi.
“Tahun ini, kami turut menyasarkan untuk melancarkan empat projek bersama kerajaan negeri iaitu Idaman BSP (Bandar Saujana Putra), Idaman Cahaya (Shah Alam), Idaman Sari (Puchong) dan Idaman Melur (Cybersouth),” jelasnya.
Projek baharu di kawasan lain termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands membabitkan 642 unit dengan jumlah GDV RM492 juta; rumah kluster satu tingkat di Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit dengan jumlah GDV RM64 juta), rumah teres satu tingkat Emerald Garden 3, rumah Semi-D dua tingkat Royal Garden dan rumah teres dua tingkat di Laman Bayu 4, Bandar Putera Indah, Johor (239 unit dengan jumlah GDV RM108 juta). – UTUSAN










