Kerjasama Ericsson, UTM dan DNB menyediakan pelajar untuk era 5G - Utusan Malaysia

Kerjasama Ericsson, UTM dan DNB menyediakan pelajar untuk era 5G

MAJLIS menandatangani kerjasama antara Ericsson, UTM dan DNB dalam bidang pendidikan 5G.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ericsson, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan kerjasama dalam satu inisiatif pendidikan 5G di Malaysia untuk mendidik para pelajar tentang 5G dan teknologi baharu muncul.

DNB dan Ericsson dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama itu akan membolehkan pelajar UTM mengambil bahagian serta menyumbang kepada ekonomi digital negara dan transformasi Industri 4.0.

Jelasnya, selari dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara ketiga-tiga pihak, Ericsson akan membuka platform Ericsson Educate kepada pelajar UTM bagi menawarkan akses kepada bahan-bahan pembelajaran tentang teknologi utama terkini.

Katanya, mata pelajaran yang terpilih untuk peringkat pengenalan merangkumi rangkaian 5G, kecerdasan buatan (artificial intelligence), pembelajaran mesin (machine learning), automasi (automation), rantaian blok (blockchain), pengkomputeran awan, sains data, IoT dan telekomunikasi.

“Kerjasama itu akan membolehkan pelajar serta pensyarah mengakses sumber pembelajaran digital berkualiti yang memanfaatkan pengalaman Ericsson selama 145 tahun dalam telekomunikasi dan ICT.

“Kandungan daripada portal Ericsson Educate akan disediakan tanpa kos dan disepadukan untuk melengkapkan program ijazah dan kelayakan mikro UTM yang berasaskan dalam talian.

“Pada masa yang sama, Ericsson juga akan melatih ahli-ahli fakulti UTM untuk menggunakan bahan-bahan kursus di samping mata pelajaran yang diajar oleh mereka,” jelas kenyataan itu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pembangunan graduan berkualiti tinggi untuk menghasilkan bakat bertaraf dunia merupakan teras dan fokus strategik UTM.

“Kerjasama kami dengan Ericsson dan DNB adalah untuk menyepadukan kandungan yang dipacu industri dengan kurikulum kami, bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan kami agar berdaya saing dalam
persekitaran kerja Industri 4.0,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama UTM dengan Ericsson juga selari dengan kewajipan universiti untuk menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, serta membolehkan rakyat Malaysia memenuhi kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk ekonomi maju.

“Ini akan memaksimumkan potensi dan kecemerlangan individu dalam tenaga kerja melalui peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling),” ujarnya.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, DNB, Zuraida Jamaluddin berkata, 5G akan menjadi pemangkin utama dalam mengubah ekonomi digital Malaysia, dan bakal menaik taraf cara bekerja, bermain, berinovasi dan belajar.

“Dengan latensi lebih rendah, kelajuan lebih pantas dan keupayaan AR/VR, 5G akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mendalam serta memacu inovasi dalam banyak aspek pendidikan,” jelas beliau.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro pula berkata, inisiatif berkenaan akan menyemarakkan kerjasama berterusan antara Ericsson dengan UTM dalam penyelidikan dan pembangunan, serta memacu agenda Industri 4.0.

“Ia merupakan langkah penting oleh Ericsson dan DNB untuk membangunkan tenaga kerja mahir 5G di Malaysia yang dapat memanfaatkan potensi 5G untuk menyokong wawasan MyDigital kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN