PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada November lalu dijangka bertumbuh 5.6 peratus melihat kepada indikator-indikator utama yang meningkat dengan pesat, termasuk Indeks Pengeluaran Industri (IPI), Indeks Perdagangan Distributif (DTI) dan output minyak sawit mentah (MSM).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota kajiannya berkata, pada bulan tersebut, IPI, DTI dan output MSM meningkat masing-masing kepada 9.4 peratus, 2.9 peratus dan 9.6 peratus tahun ke tahun.
Katanya, peningkatan IPI disokong pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan (11.3 peratus tahun ke tahun), yang didorong pengembangan untuk bulan kedua berturut-turut dalam semua kumpulan industri serta elektrik (5.1 peratus), bersama lonjakan semula perlombongan (3.7 peratus) ketika peningkatan pengeluaran gas asli (10.2 peratus) mengimbangi penyusutan output minyak mentah dan pemeluwapan (-4.4 peratus).
“DTI meningkat pada November apabila purata berwajaran indeks perdagangan runcit serta indeks perdagangan kenderaan motor pulih sebanyak 3.7 peratus selain lonjakan semula dalam indeks perdagangan borong (1.4 peratus).
“Sementara itu, output MSM meningkat 9.6 peratus pada November berbanding 0.1 peratus pada Oktober,” katanya.
Menurut Maybank IB, momentum pertumbuhan KDNK dijangka berterusan pada Disember, berdasarkan indeks pengurus pembelian (PMI) sektor pembuatan yang meningkat kepada 52.8 pada Disember.
Prestasi PMI pembuatan kekal meningkat sejak catatan rendah 39.9 pada Jun, menandakan momentum pertumbuhan sektor pembuatan sejak lonjakan semula pada Ogos.
“Tambahan lagi, pertumbuhan output MSM kekal pada 8.8 peratus tahun ke tahun pada Disember. Ia mencerminkan pelonggaran langkah pembendungan dan pembukaan semula ekonomi yang progresif sejak separuh kedua 2021.
“Sementara itu, kesan kejadian banjir pada separuh kedua DIsember sepatutnya diimbangi perbelanjaan isi rumah, perniagaan dan kerajaan untuk membaiki, memulih dan membina semula harta benda, aset dan infrastruktur yang rosak,” katanya. – UTUSAN










