PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) telah membuka Tapak Ujian Dron (DTS) di Medini, Iskandar Puteri, Johor Bahru selaras dengan visi Zon Dron & Robotik Iskandar (RTZ Iskandar) untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik terkemuka sebagai enjin pertumbuhan di rantau ini.
Ia merupakan DTS yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara. Pembukaan DTS itu juga selaras dengan inisiatif IIB iaitu Iskandar Next, satu program kerjasama awam dan swasta dengan Kerajaan Negeri Johor bagi menyokong agenda ekonomi digital negeri untuk mempercepatkan pertumbuhan sebagai Hab Perniagaan Serantau dan Global.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya berbesar hati kerana IIB telah berjaya mengukuhkan kedudukan Medini sebagai Hab Digital Johor dengan pembukaan DTS itu.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan syarikat dan pengusaha teknologi dron di Malaysia dan rantau ini untuk menjalankan perniagaan mereka di sini.
“Saya turut merasa bangga kerana yakin bahawa inisiatif ini akan menarik bakat teknologi baharu, pekerja ekonomi gig dan menyumbang ke arah penciptaan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor.
“IIB telah membelanjakan hampir RM4 juta sejak penubuhan DRZ Iskandar dan Negeri Johor juga turut memperuntukkan bajet yang signifikan untuk pembangunan ekosistem dron dan robotik ini.
“Kerajaan negeri akan terus memudah cara inisiatif berkaitan DRZ Iskandar seiring agenda ekonomi digital negeri,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pembukaan DTS itu.
DRZ Iskandar menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik di Iskandar Puteri, yang akan menjadi pemangkin pembangunan, peneraju teknologi dan hab bakat untuk Malaysia dan APAC.
Adalah diunjurkan bahawa DRZ Iskandar akan menarik pelaburan sebanyak RM351 juta dan menjana 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang dron dan robotik menjelang 2025.
Pembangunan DTS terbabit juga dijangka akan memacu ekonomi tempatan, selain memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan setempat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khalil Anwar Ahmad berkata, pihaknya mahu mahu menyediakan persekitaran holistik bagi para inovator di mana mereka boleh memperakui produk mereka, memperoleh pembiayaan, mendapatkan akses perolehan dan kawal selia jelas yang boleh menggalakkan pembangunan penyelesaian dron yang inovatif dan kreatif.
“IIB terus komited untuk memacu aspirasi kerajaan dalam pembangunan teknologi dan pendigitalan terutamanya teknologi dron.
“Kami bekerjasama rapat dengan pemain industri utama kami, seperti DHL Express yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti dron tempatan.
“Sehubungan itu, pembukaan DTS yang meliputi lebih 1,700 ekar di DRZ Iskandar, merupakan salah satu elemen penting dalam menyokong merealisasikan agenda ekonomi digital Negeri Johor,” katanya.
DTS yang terletak di Medini menampilkan dua tapak berukuran kira-kira 25 ekar (DTS 1) dan 1,700 ekar (DTS 2).
DTS 1 memenuhi keperluan penerbangan ‘visual line of sight’ manakala penerbangan ‘beyond visual line of sight’, yang pertama seumpamanya di Malaysia, akan dijalankan dalam DTS 2. – UTUSAN










