PETALING JAYA: Tawaran awam permulaan (IPO) Senheng New Retail Berhad (Senheng) mendapat minat yang kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dengan bahagian awam terlebih langgan sebanyak 10.4 kali.
Senheng menerima sejumlah 16,548 permohonan untuk 343.2 juta saham dengan agregat nilai RM367.3 juta, untuk bahagian awam IPO Kumpulan terdiri daripada 30.0 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam.
Senheng dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Januari ini dan dijangka menjadi penyenaraian Pasaran Utama pertama untuk tahun ini.
Menurut Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng, langganan terhadap IPO Senheng itu menunjukkan keyakinan orang ramai ke atas prestasi syarikat selama lebih 30 tahun sehingga menjadi salah satu jenama runcit terbaik dan paling progresif di Malaysia.
“Melangkah ke hadapan, kami memperluaskan rangkaian kedai kami di seluruh negara, meningkatkan pengalaman membeli belah di kedai dan dalam talian, serta membawa rangkaian produk berkualiti yang lebih luas kepada pelanggan.
“Kami juga sedang menaik taraf infrastruktur digital dan keupayaan logistik kami untuk meningkatkan pengalaman runcit yang lancar dalam era digital.”
Tambahan pula, kami menyasarkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham, atas komitmen mereka menyertai kami dalam perjalanan transformatif ke arah
membentuk landskap runcit baharu Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Senheng, Kumpulan mencatatkan lonjakan 21.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM34.1 juta untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9M21) daripada RM28.1 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh berkenaan, Kumpulan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak RM987.7 juta daripada RM879.6 juta pada sembilan bulan pertama 2020.
IPO Senheng melibatkan terbitan awam 250.0 juta saham baharu dan tawaran untuk-penjualan 139.5 juta saham sedia ada pada harga terbitan RM1.07 sesaham.
Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus atau RM160.5 juta akan disalurkan kepada penubuhan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada konsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.
Kumpulan menyasarkan untuk menaik taraf atau menubuhkan 61 kedai baharu dan sedia ada dari 2022 hingga 2024 bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggannya.
Sebanyak 19.3 peratus lagi atau RM51.7 juta akan digunakan untuk mengukuhkan kapasiti sokongan dan keupayaan Kumpulan.
Ia termasuk membangunkan perniagaan pengedaran jenama baharu, mengembang dan menaik taraf gudang dan rangkaian logistik, serta meningkatkan infrastruktur digital Kumpulan.
“Baki 20.7 peratus atau RM55.3 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian,” jelasnya. – UTUSAN










