PETALING JAYA: Inventori minyak sawit Malaysia untuk Disember jatuh 12.9 peratus bulan ke bulan kepada 1.58 juta tan metrik berbanding 1.82 juta tan metrik pada November, disumbangkan terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah.
MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, pihaknya menjangkakan inventori akan terus ketat disebabkan tempoh pengeluaran yang lebih perlahan dan permintaan yang sihat dari China sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Walau bagaimanapun, MIDF menjangkakan tahap inventori akan kembali meningkat pada suku kedua 2022 disebabkan tahap pengeluaran yang lebih tinggi.
“Kami meramalkan tahap simpanan stok untuk meningkat sedikit dan akhirnya kembali kepada tahap prapandemik iaitu kira-kira dua juta hingga tiga juta tan metrik tahun ini,” katanya.
Sementara itu, menurut MIDF Research, eksport minyak sawit pada DIsember menurun 3.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.41 juta tan metrik berbanding 1.47 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Penurunan tersebut disebabkan terutamanya oleh permintaan yang lebih rendah dari China yang menurun 23.7 peratus bulan ke bulan dan India yang menurun 10.8 peratus bulan ke bulan.
Jelasnya, untuk 2021, Malaysia mencatatkan 15.56 juta tan metrik eksport, menyusut 10.4 peratus berbanding 17.37 juta tan metrik pada tahun sebelumnya.
“India kekal sebagai pembeli terbanyak Malaysia pada 2021, meningkat 31.8 peratus tahun ke tahun kepada 3.58 juta tan metrik, dipacu oleh aktiviti stok semula yang tinggi.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan eksport dari India berkurang pada 2022 tetapi masih pada tahap yang baik berikutan pembeliannya yang lebih tinggi dari jangkaan pada 2021.
“Untuk China, kami menjangkakan permintaan eksport yang lebih baik disokong oleh aktiviti stok semula yang lebih galak menjelang perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya. – UTUSAN










