Hatten Land sahkan penghantaran pelantar perlombongan kripto pertama di Melaka - Utusan Malaysia

Hatten Land sahkan penghantaran pelantar perlombongan kripto pertama di Melaka

KUMPULAN telah menghantar pasukan teknikal perlombongan kripto dari Singapura ke Melaka pada 5 Januari lalu sebagai persediaan untuk pemasangan dan pengendalian pelantar. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Hatten Land mengesahkan penghantaran sebanyak 80 pelantar perlombongan kripto pertamanya ke kemudahan perlombongan kripto di Melaka, demikian lapor The Edge Singapura.

Menurut laporan itu, pelantar tersebut akan mula melombong bitcoin pada bulan ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datuk Colin Tan, kumpulan telah menghantar pasukan teknikal perlombongan kripto dari Singapura ke Melaka pada 5 Januari lalu sebagai persediaan untuk pemasangan dan pengendalian pelantar.

“Ini merupakan satu lagi peristiwa penting dalam pelan hala tuju digital kami dan ia menyerlahkan komitmen kami dalam melaksanakan strategi perniagaan serta melaksanakan rancangan kami walaupun menghadapi cabaran operasi yang berterusan daripada pandemik Covid-19.

“Sambil meningkatkan secara berperingkat aktiviti perlombongan kripto kami, terdapat rancangan untuk mengintegrasikan operasi sedemikian dengan tenaga solar sebagai sebahagian daripada usaha kami ke atas kemampanan dan memaksimumkan nilai pelabur.

“Dengan matlamat pertumbuhan kumpulan dalam ekonomi digital Asia, kami akan terus meneroka perkongsian baharu secara proaktif untuk mencipta cadangan nilai baharu dan membina aliran hasil baharu dalam ekonomi digital,” ujarnya dalam laporan tersebut.

Kumpulan sebelum ini telah memeterai perjanjian perkongsian dengan Frontier Digital Management untuk memasang dan mengendalikan 1,000 pelantar perlombongan kripto dalam hartanah Hatten Land.

Frontier Digital juga telah diberikan lesen oleh Hatten Land untuk memasang, mengendali, mengurus dan menyelenggara pelantar perlombongan kripto di pusat membeli-belah atau lokasi yang dimiliki atau diuruskan oleh Hatten Land.

Kedua-dua syarikat akan berkongsi hasil bersih mata wang kripto yang dilombong selepas menolak perbelanjaan operasi dan pengurusan yang berkaitan.

Oleh itu, perjanjian dengan Frontier Digital dijangka menyumbang secara positif kepada aset aset bersih dan prestasi kewangan Hatten Land untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN