PETALING JAYA: DJI, pemimpin global dalam pembangunan dan pembuatan dron awam dan teknologi kamera kreatif untuk kegunaan peribadi melancarkan Gedung Pengalaman Premium dan Pusat Servis terbaharunya di Pusat Beli-Belah One Utama, di sini.
Berikutan pelancaran Gedung Pengalaman Premium DJI yang pertama baru-baru ini di Pavilion Kuala Lumpur, pusat sehenti ini menawarkan kepada pelanggan pengalaman menikmati kemudahan dan perkhidmatan DJI secara menyeluruh di bawah satu bumbung.
Gedung Pengalaman Premium dan Pusat Servis DJI kini sedia menerima kunjungan pelawat dan peminat di Lot LG 343A.
Kemudahan seluas 543 kaki persegi ini ialah pusat servis DJI pertama yang turut menyediakan perkhidmatan lepas jualan bagi pelanggan yang boleh membawa peranti DJI mereka untuk mendapatkan khidmat penyenggaraan, pembaikan atau penggantian alat.
Pengurus Besar Azure Telecommunication Sdn. Bhd., Johnny Liao berkata, pembukaan Gedung Pengalaman Premium dan Pusat Servis DJI membuktikan usaha berterusan dalam mengukuhkan kedudukan syarikat di Malaysia.
“Walaupun matlamat kami ialah menjadikan produk pemenang anugerah DJI jauh lebih mudah didapati, kami mahu memberikan ketenangan fikiran kepada peminat dan pelanggan yang tegar dengan menyediakan perkhidmatan lepas jualan menyeluruh kepada mereka.
“Menyedari tahap permintaan bagi inovasi kami, DJI komited untuk melengkapkan pengguna dengan ilmu penting bagi memastikan fungsi teras dron kami dimaksimumkan sama ada untuk hobi atau tujuan misi penyelamat.
“Kami akan terus mempelopori inovasi bagi membekalkan produk bermutu tinggi dan menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk menjamin kepuasan pelanggan sambil mengukuhkan kedudukan kami sebagai jenama dron awam dan fotografi udara paling laris di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Pengunjung Gedung Pengalaman Premium dan Pusat Servis DJI boleh menikmati pengalaman langsung menggunakan produk di ruangan khas untuk mencuba produk.
Dengan rangkaian dron kamera yang luas termasuk DJI Mavic series, Air series, Mini series dan DJI FPV, pelanggan boleh mencuba peralatan pemenang anugerah yang disediakan dengan tunjuk ajar pakar-pakar DJI di lokasi yang sedia melakukan demonstrasi asas serta memberi panduan dan maklumat produk. – UTUSAN










