PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) telah melancarkan projek perintis Kedai FGV bergerak di operasi perladangan FGV di Sampadi, Sarawak bagi tujuan kemudahan pekerja ladang FGV.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, semua orang termasuk pekerja FGV mempunyai hak kepada taraf hidup yang baik termasuk akses kepada makanan dan keperluan asas.
“Memandangkan kedai-kedai runcit di ladang FGV di Sampadi agak jauh dari tempat tinggal pekerja ladang,, FGV memutuskan untuk mengadakan sendiri perkhidmatan Kedai FGV bergerak itu bagi membolehkan pekerja ladang terus menikmati bekalan bahan mentah segar untuk keperluan harian mereka dengan lebih mudah dan harga yang lebih berpatutan.
“Bagi melancarkan lagi perjalanan Kedai FGV bergerak, Pejabat Wilayah FGV akan menguruskan segala keperluan berkaitan seperti penyediaan pekerja bagi membawa kenderaan, pembekalan bahan mentah dan keperluan harian serta aspek penyelenggaraan operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, selaras dengan usaha FGV untuk menyokong inisiatif kerajaan ke arah transaksi tanpa tunai, semua urusan pembelian dan pembayaran di Kedai Bergerak FGV dijalankan melalui sistem e-dompet FGV yang telah diperkenalkan sejak 2020.
Jelasnya, menerusi penggunaan e-dompet itu, pekerja ladang terutamanya pekerja migran dapat menguruskan kewangan mereka secara lebih efisien.
“Selain transaksi tanpa tunai, aplikasi itu membolehkan pekerja migran melakukan pengiriman wang kepada ahli keluarga mereka di negara asal, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) yang berdaftar dengan VISA, atau melalui peniaga berdaftar.
“Pekerja juga boleh menyalurkan sebarang rungutan atau aduan melalui aplikasi tersebut. Selain Kedai FGV bergerak, aplikasi sama boleh digunapakai di kedai-kedai FGV lain di semua operasi perladangan FGV di seluruh negara.
“FGV kini telah maju selangkah ke hadapan apabila mencapai 100 peratus pelaksanaan urusan pembayaran gaji serta transaksi harian pekerja ladang kami melalui e-dompet FGV.
“Kemajuan itu memanfaatkan seramai 23,716 pekerja ladang kami di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










