Cuaca buruk, Omicron jejas penerbangan global - Utusan Malaysia

Cuaca buruk, Omicron jejas penerbangan global

PENINGKATAN kes Omicron menyebabkan banyak kaKitangan syarikat penerbangan enggan bertugas lebih masa, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGALORE: Lebih 4,000 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia Ahad lalu, menambah gangguan kepada perjalanan minggu percutian akibat cuaca buruk dan peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Omicron.

Lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan penerbangan Amerika Syarikat (AS).

Penerbangan tersebut diba­talkan bermula pukul 8 malam GMT Ahad lalu, termasuk 2,400 penerbangan memasuki, keluar atau dalam AS, menurut laman web FlightAware.com.

Di seluruh dunia, lebih 11,200 penerbangan ditangguhkan.

Antara syarikat penerbangan dengan pembatalan terbanyak ialah SkyWest dan Southwest, masing-masing dengan 510 dan 419 pembatalan, menurut FlightAware.

Percutian Krismas dan Tahun Baharu kebiasaannya merupa­kan kemuncak untuk penerbangan namun penyebaran varian Omicron menyebabkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19, memaksa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan apabila juruterbang dan krew kabinnya terpaksa dikuarantin.

Agensi pengangkutan di seluruh AS juga terpaksa menggantung atau mengurangkan perkhid­matan disebabkan kekurangan pekerja akibat Covid-19.

Omicron telah menyebabkan jumlah kes yang sangat tinggi dan menyendukan keraian tahun baharu hampir di seluruh dunia.

Peningkatan kes Covid-19 juga menyebabkan beberapa syarikat mengubah rancangan untuk menambah bilangan pekerja bekerja di pejabat bermula semalam.

Menurut kiraan Reuters, pihak berkuasa AS mencatatkan sekurang-kurangnya 346,869 kes baharu Covid-19 Sabtu lalu manakala jumlah kematian meningkat sekurang-kurang­nya sebanyak 377 orang kepada 828,562 orang.

Kru kabin, juruterbang dan kakitangan sokongan syarikat penerbangan AS enggan bekerja lebih masa semasa musim cuti ini, walaupun ditawarkan insentif kewangan yang lumayan.

Kebanyakannya bimbang dijangkiti Covid-19 dan tidak mahu berhadapan penumpang yang sukar dikawal, menurut beberapa kesatuan sekerja.

Beberapa bulan sebelum musim cuti, syarikat penerba­ngan menarik ramai pekerja bagi memastikan jumlah pekerja yang cukup selepas memberhentikan ribuan pekerja dalam tempoh 18 bulan lalu ketika pandemik memberi kesan teruk kepada industri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN