BNM, BI lancar jalinan pembayaran QR rentas sempadan Malaysia-Indonesia - Utusan Malaysia

BNM, BI lancar jalinan pembayaran QR rentas sempadan Malaysia-Indonesia

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, terutama golongan pekerja.

Ini kerana, jalinan itu akan membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan cekap antara Malaysia dengan Indonesia.

Fasa rintis jalinan bermula semalam dengan pelancaran komersial penuh adalah pada suku ketiga 2022.

Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian berkata, jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia merupakan pencapaian penting dalam kerjasama erat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Selain itu kata beliau, fasa kedua jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Thailand juga telah bermula minggu ini.

“Perkembangan sebegini akan membawa kita lebih dekat ke arah merealisasikan visi mewujudkan rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas dan cekap. Hal ini seterusnya akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan supaya individu serta peniaga dapat meraih manfaat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Gabenor BI, Doni P. Joewono berkata, inisiatif itu menghubungkan pembayaran rentas sempadan melalui kesalinghubungan kod QR kebangsaan dua negara dan juga merupakan satu lagi pencapaian dalam Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.

Jelasnya, BI menyedari akan kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama ini.

“Inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam ruang pembayaran rentas sempadan. Usaha ini juga akan menjadi langkah penting untuk meningkatkan kecekapan transaksi, menyokong pendigitalan dalam sektor perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement, LCS).

“Kecekapan transaksi akan meningkat dan seterusnya kos transaksi dapat dikurangkan melalui penggunaan sebut harga langsung kadar pertukaran mata wang tempatan yang disediakan oleh bank-bank yang merupakan Appointed Cross Currency Dealers (ACCD) di bawah Rangka Kerja LCS,” katanya.

Kesalinghubungan pembayaran ini akan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dengan Indonesia dan menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik.

Apabila perjalanan antarabangsa dibuka semula, sektor pelancongan akan menjadi sektor utama yang banyak menerima manfaat daripada perkhidmatan ini. Aliran pelancong yang besar antara kedua-dua negara ini mencatatkan purata 5.6 juta ketibaan setiap tahun sebelum berlakunya pandemik.

Kedua-dua negara ini juga merupakan koridor kiriman wang yang utama bagi warganegara masing-masing yang bekerja di Malaysia dan Indonesia. Pekerja-pekerja ini akan mendapat manfaat daripada kiriman wang rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN