Banjir: SME Bank beri penangguhan bayaran bernilai RM146 juta - Utusan Malaysia

Banjir: SME Bank beri penangguhan bayaran bernilai RM146 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank memberi penangguhan bayaran selama enam bulan kepada seramai 59 pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta di bawah Program Bantuan Banjir SME Bank.

Selain itu, SME Bank juga menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM100,000 melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tempoh tamat penangguhan bayaran untuk kesemua 59 orang usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak itu adalah pada September 2022.

Ujarnya, jumlah usahawan yang terlibat pula mungkin akan bertambah berdasarkan bilangan pelanggan yang mungkin akan terjejas sekiranya berlaku lagi bencana banjir pada masa terdekat ini.

“Di samping itu, SME Bank turut memberikan pengecualian bayaran sewa melibatkan 41 unit kilang usahawan PKS di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Shah Alam yang turut terlibat dalam bencana ini.

“Inisiatif pengecualian bayaran sewa berjumlah RM230,000 itu adalah untuk tempoh dua bulan bermula Januari hingga Februari ini. SME Bank juga turut menawarkan pelbagai bantuan pembiayaan yang bersesuaian kepada keluarga usahawan yang terkesan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Program Bantuan Banjir SME Bank telah dibuka dari 1 Januari lalu hingga 31 Mac 2022 dan semua pelanggan SME Bank yang memerlukan bantuan disebabkan banjir digesa untuk menghubungi pihak SME Bank dengan kadar segera.

“Tindakan proaktif yang diambil oleh SME Bank dalam menghulurkan bantuan segera kepada usahawan PKS yang terkesan adalah seiring dengan amanat yang diberikan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail memaklumkan, selain bantuan tersebut, pihaknya juga bertindak pantas dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan menghantar sukarelawan bagi membersihkan beberapa buah rumah termasuk rumah kakitangan SME Bank sendiri.

“Kelab Sukan dan Rekreasi SME Bank turut membuat kutipan barangan keperluan harian dan pakaian yang diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.”

“Selain itu, anak syarikat kami, Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut bersedia untuk menyalurkan khidmat nasihat tentang penstrukturan semula rancangan perniagaan serta lain-lain latihan pembangunan usahawan yang bersesuaian bagi membolehkan usahawan kembali beroperasi sejurus keadaan kembali pulih,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut tentang bantuan ini, usahawan yang terlibat dengan bencana banjir boleh berhubung dengan Pengurus Perhubungan masing-masing atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau layari laman web rasmi www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN