Banjir ganggu operasi perladangan - Utusan Malaysia

Banjir ganggu operasi perladangan

BANJIR menyebabkan aktiviti tuaian buah sawit tidak dapat dijalankan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejadian banjir yang melanda beberapa negeri mengganggu operasi perladangan dan risikonya berterusan memandangkan musim hujan semasa dijangka berlarutan sehingga Mac.

Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Ong Chee Ting dalam nota kajiannya berkata, fenomena La Nina dan Monsun Timur Laut telah menyebabkan banjir sporadik di beberapa negeri sejak awal Disember, termasuk sebahagian Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

Katanya, kejadian tersebut mengganggu operasi ladang untuk beberapa hari di kawasan terkesan dari segi ketiadaan tuaian dan kerosakan jalan ke kilang.

“Kami difahamkan kerugian hasil masih boleh diurus, diimbangi harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.

“Namun, sektor perladangan belum bebas dari risiko memandangkan musim hujan semasa dijangka berterusan sehingga Mac. Apa-apa gelombang banjir atau banjir berterusan boleh memberi kesan teruk kepada infrastruktur dan melanjutkan gangguan operasi,” katanya.

Menurut Chee Ting, kebimbangan gangguan bekalan akibat banjir meningkatkan harga MSM pada suku keempat 2021.

Kata beliau, harga semerta MSM berpurata pada RM5,171 setiap tan pada suku tersebut, peningkatan 53 peratus tahun ke tahun dan 17 peratus suku ke suku.

“Kami menjangkakan output MSM untuk Disember pada 1.45 tan metrik, susut 11 peratus bulan ke bulan, menjadikan output keseluruhan 2021 kepada 18.1 tan metrik, berkurang lima peratus tahun ke tahun.

“Dengan harga tinggi, kami menjangkakan penanam mencapai keputusan yang cemerlang sekali lagi pada suku keempat 2021,” katanya.

Chee Ting menjelaskan, prospek pendapatan penanam untuk suku tersebut akan melonjak dan harga yang tinggi akan lebih daripada sekadar mengimbangi kekurangan output.

“Disebabkan hujan lebat dan cabaran logistik dalam mendapatkan baja mencukupi, kami menjangkakan penanam mempunyai sedikit peluang untuk memenuhi keperluan baja yang diinginkan pada suku keempat, menambah garis bawah memandangkan kos pengeluaran berkemungkinan boleh dikawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN