PETALING JAYA: Pengedar terbesar kenderaan BMW, Auto Bavaria sekali lagi menerima pengiktirafan apabila memenangi anugerah Berlian untuk program kesetiaan pelanggannya.
Auto Bavaria memenangi anugerah BMW Excellence Club di Malam Anugerah Pengedar BMW 2020, untuk tahun ke-10 berturut-turut sejak 2010.
Penganjuran acara tahunan Malam Anugerah Pengedar BMW bertujuan untuk mengiktiraf pengedar BMW yang berprestasi tinggi dalam rangkaiannya di Malaysia merentas semua bidang utama perniagaan, memfokuskan pada jualan dan selepas jualan, kecemerlangan perkhidmayan operasi, serta sumbangan kepada perniagaan.
“Ia adalah malam yang tidak dapat dilupakan untuk pekerja Auto Bavaria apabila syarikat itu membawa pulang 32 anugerah dalam tujuh kategori walaupun ia adalah tahun yang penuh dengan cabaran,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan berkata, syarikat berbesar hati mendapat pengiktirafan itu kerana ia bukti daya tahan dan komitmen kuat kumpulan untuk memberikan pengalaman luar biasa kepada pelanggan walaupun industri automotif menghadapi cabaran sepanjang 2020.
“Anugerah ini hasil daripada kerja keras, semangat dan dedikasi warga kami. Selain daripada mengiktiraf prestasi perniagaan yang cemerlang kami, ia juga mencerminkan komitmen teguh kami terhadap jenama BMW.
“Kami nantikan untuk meraikan lebih banyak kemenangan dengann meneruskan komitmen kami untuk kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN










