Aspirasi memanusiawi pendigitalan tahun 2022 - Utusan Malaysia

Aspirasi memanusiawi pendigitalan tahun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Tahun 2021 telah meninggalkan kita dengan pelbagai cabaran serta dugaan yang mengajar erti kehidupan. Bagi kebanyakkan usahawan dan pengusaha perniagaan, tahun 2022 menjadi harapan agar situasi endemik dapat mencapai tahap yang lebih baik dan dapat terus berdaya maju dengan lebih kompetitif lagi. Pengembangan digital yang semakin pesat juga turut menjadi wadah penting dalam menyokong pelbagai rancangan perniagaan dalam pengukuhan pasaran era digitalisasi ini.

Kini kita hidup dalam era teknologi digital yang berkembang dengan begitu pantas. Kemahiran teknikal yang diperlukan industri juga turut memberi implikasi kepada setiap perniagaan agar sentiasa cakna terhadap pendedahan dan perubahan yang selaras dengan keperluan pasaran semasa. Penglibatan teknologi robotik seperti sistem Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), pengurusan Data Raya dan Pengkomputeran Awan kini sudah menjadi norma keperluan dalam pelbagai sektor perniagaan dan industri.

Bagi memastikan daya saing perniagaan sentiasa releven dengan arus semasa, pendekatan yang lebih kreatif diperlukan dalam membina tarikan pasaran yang lebih berimpak tinggi kepada pelanggan. Oleh itu, antara elemen yang menjadi sandaran untuk berkembang lebih kompetitif pada 2022 dan tahun-tahun seterusnya adalah dengan mengadaptasi konsep memanusiawi pendigitalan dalam setiap urusan perniagaan dan kempen pemasaran.

Memanusiawi pendigitalan merupakan salah satu kaedah yang telah dilaksanakan sebelum kemunculan era Internet Kebendaan lagi. Namun, ia hanya tertumpu kepada sebahagian perhubungan yang melibatkan interaksi antara manusia dengan manusia yang lain melalui saluran internet. Kini, konsep tersebut telah mula diintegrasi dengan asimilasi sistem robotik sebagai pengendali atau operator bagi memudahkan urusan pelanggan, pemasaran dan promosi secara lebih meluas.

Sistem robotik bakal terus diperluaskan dalam integrasi perniagaan fizikal terutama yang melibatkan pasaran pengguna. Keupayaan pengendalian sistem kecerdasan buatan telah menjadi potensi kepada organisasi perniagaan untuk dijadikan sebagai operator atau pelayan kepada pelanggan yang antara lainnya turut dinyatakan sebagai frontliner dalam urusan transaksi jual beli.

Ia merangkumi kemudahan khidmat pesanan pelanggan sehinggalah transaksi bayaran tanpa tunai. Asimilasi sistem robotik secara fizikal ini telah berjaya direalisasikan oleh sebahagian besar rangkaian restoran francais terkemuka dan bertaraf antarabangsa yang bertapak di Malaysia. Begitu juga dengan khidmat penghantaran outsource seperti Grab Food dan Food Panda yang menjadi keperluan bagi sebahagian besar pengusaha restoran dan kedai makan untuk menerobos potensi pasaran dengan lebih baik.

Selain itu, pengurusan komunikasi kepada prospek dan pelanggan secara dalam talian melalui platform laman sesawang dan e-dagang kini turut dipermudahkan lagi dengan sokongan komunikasi robotik secara terus kepada pelanggan bagi membantu pada setiap masa yang diperlukan. Kemahiran sistem kecerdasan buatan ini mampu menguruskan asas keperluan komunikasi dalam menyelesaikan masalah pelanggan yang selaras dengan keperluan syarikat dan aspirasi perniagaan.

Tidak ketinggalan juga dalam aspek pemasaran media sosial yang memerlukan sentuhan manusiawi dalam interaksi yang berterusan kepada audiens. Analisa data dan statistik turut menjadi landasan dalam mengenal tingkah laku audiens dan algoritma pasaran secara dalam talian. Pemasaran kandungan berbentuk video dan grafik juga menjadi salah satu elemen penting dalam mencapai emosi manusiawi kepada prospek pelanggan melalui ruangan digital.

Justeru itu, apa yang diperlukan oleh seseorang usahawan dan organisasi perniagaan kini adalah memastikan pembangunan kreativiti yang berterusan dalam membina engagement untuk menjana pelanggan di samping membina kesetiaan jenama kepada pelanggan secara lebih berkesan. Tahun 2022 merupakan gerbang terhadap integrasi dan asimilasi kepakaran robotik dengan sentuhan manusiawi bagi menjaga kepentingan pelanggan dan pengukuhan pasaran yang berterusan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN