Amaran gangguan rantaian bekalan komponen, mikrocip - Utusan Malaysia

Amaran gangguan rantaian bekalan komponen, mikrocip

GANGGUAN bekalan mikrocip dan komponen lain bakal menjejaskan operasi sektor industri dan perkilangan di Jerman serta global. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Persatuan perdagangan BGA Jerman memberi amaran gangguan besar-besaran dalam rantaian bekalan disebabkan penyebaran pesat varian Omicron.

Namun, BGA menjelaskan, keruntuhan jangka panjang rantaian bekalan mungkin tidak akan berlaku.

Industri Jerman mengalami kekurangan bekalan mikrocip dan komponen lain, sementara kes jangkitan Covid-19 mengaburkan unjuran untuk peruncit bagi permulaan 2022.

Presiden BGA, Dirk Jandura berkata, tiada risiko keruntuhan namun ada kemungkinan gangguan besar-besaran rantaian bekalan akan berlaku, sekurang-kurangnya untuk sementara.

Katanya, kemungkinan gangguan dalam rantaian penghantaran global tetap ada walaupun sudah ramai pemborong di seluruh dunia telah menjadikan rantaian bekalannya lebih fleksibel.

“Anda tidak akan mampu melindungi sepenuhnya diri anda apabila berhadapan pandemik global,” katanya seperti dipetik akhbar Funke.

Jandura turut meminta sokongan kerajaan melalui harga tenaga dan elektrik yang lebih rendah serta bentuk bantuan yang lain.

Menurut Institut Robert Koch (RKI) untuk penyakit berjangkit, Omicron ketika ini merangkumi 44 peratus daripada jangkitan Covid-19 di Jerman. Negara itu mencatatkan 45,690 kes pada Selasa lalu, 49.5 peratus lebih tinggi berbanding hari sama minggu lalu.

Kebimbangan terhadap varian baharu akan menghentikan perkhidmatan kritikal membuatkan kerajaan Jerman mengetatkan peraturan untuk restoran dan bar selain menyingkatkan tempoh kuarantin Covid-19.

Dewan Perniagaan Jerman (DIHK) mengalu-alukan peraturan pengasingan baharu namun berkata, pihaknya bimbang dengan peningkatan kes jangkitan dalam sektor logistik.

Katanya, sektor tersebut telah mengalami kekurangan kakitangan dan diberi amaran berkenaan kesannya kepada sektor peruncitan makanan dan pengeluaran perubatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN