PETALING JAYA: Operasi gabungan AirAsia Group Berhad di seluruh Malaysia, Indonesia dan Filipina merekodkan faktor muatan suku tahunan tertinggi sebanyak 80 peratus pada suku keempat tahun berakhir 31 Disember 2021 (4QFY21), sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.
Menurut AirAsia Group, penumpang syarikat penerbangan tambang murah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya melepasi pertumbuhan kapasiti syarikat itu.
Kumpulan AirAsia menjalankan operasinya di Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui Sijil Operasi Udara (AOC) syarikat masing-masing di negara-negara tersebut.
“Pada tahun kewangan 2021, faktor muatan kekal sihat pada 74 peratus dengan strategi yang dilaksanakan untuk menguruskan pelbagai sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan masing-masing.
“Prestasi bulanan penumpang yang lebih baik dan kapasiti tambahan di seluruh kumpulan menunjukkan trend penyambungan semula berbentuk V dalam permintaan perjalanan udara sepanjang tahun 2021.
“Selain itu, kumpulan menjangkakan untuk melihat lonjakan dalam permintaan berikutan pengumuman baru-baru ini bahawa kerajaan Thailand meneruskan skim perjalanan bebas kuarantin mulai 1 Februari 2022 dan kerajaan Malaysia menyambung semula Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, berkuat kuasa 24 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan.
Penumpang AirAsia Malaysia yang dibawa dan kapasiti masing-masing meningkat sebanyak 164 peratus dan 139 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu berikutan peningkatan permintaan selepas pembukaan semula sempadanan negeri yang diumumkan oleh kerajaan.
Faktor muatan meningkat sebanyak 7.0 mata peratusan tahun ke tahun dan 19 mata peratusan suku ke suku kepada 80 peratus sempena musim perayaan akhir tahun dan peningkatan kekerapan di laluan permintaan tinggi termasuk antara Kuala Lumpur dan Langkawi, diikuti dengan laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada November dan Disember 2021.
Syarikat itu menjangka bahawa aliran menaik dalam permintaan untuk perjalanan rentas negeri akan berterusan selepas kerajaan membenarkan pendudukan yang sudah divaksin sepenuhnya merentas sempadan negeri.
Sementara itu, AirAsia Indonesia mencatatkan faktor muatan yang membanggakan sebanyak 87 peratus pada Disember 2021, 81 peratus untuk suku tersebut yang meningkat 22 mata peratusan tahun ke tahun.
Ia didorong oleh peningkatan kekerapan penerbangan sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terutamanya pada Disember 2021.
Penumpang yang dibawa pada bulan terakhir tahun itu meningkat hampir tujuh kali ganda berbanding November 2021.
AirAsia Filipina juga terus mengatasi prestasi pada 4Q2021 dengan tempat duduk yang dijual meningkat dua kali ganda daripada 3Q2021.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, kapasiti meningkat sebanyak 126 peratus. Pada suku tersebut, faktor beban mencapai prestasi suku tahunan tertingginya pada tahun itu kepada 85 peratus, melonjak 21 mata peratusan tahun ke tahun.
Ia dicapai daripada permintaan yang kukuh ke beberapa destinasi seperti Cebu, Cagayan de Oro, Borocay dan Tacloban. Tempat duduk tersedia (ASK) turut melonjak 114 peratus tahun ke tahun daripada 133 juta.
AirAsia Thailand pula pada 4Q2021 mengendalikan lebih banyak kapasiti domestik berbanding suku sebelumnya susulan permintaan yang kukuh. AirAsia Thailand membawa 1.15 juta penumpang dengan faktor muatan meningkat kepada 78 peratus pada Disember 2021. – UTUSAN










