Abdul Wahid kembali ke Maybank? - Utusan Malaysia

Abdul Wahid kembali ke Maybank?

ABDUL WAHID OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan Maybank, Datuk Mohamed Rafique Merican Mohd. Wahiduddin Merican dilihat sebagai calon utama bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Farid Alias sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kedua-dua calon tersebut berada di barisan hadapan untuk menggantikan Abdul Farid berdasarkan pengalaman dan tempoh perkhidmatannya bersama Maybank.

Malah, menurut Baharom, terdapat juga kemungkinan untuk bekas GPCEO Maybank, Tan Sri Abdul Wahid Omar kembali untuk memegang jawatan tersebut.

“Maybank adalah sebuah institusi yang penting buat negara mahupun rakyat. Selain kerana mempunyai aset menghampiri RM1 trilion dan tersenarai sebagai antara 100 bank paling berpengaruh di dunia, pemilikan saham oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) juga menambah kepentingan Maybank.

“Selain daripada ketiga-tiga nama tersebut, melihat kepada pengalaman dan kebolehan, boleh dikatakan tiada nama yang menonjol atau perlukan perhatian buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Maybank mengumumkan Abdul Farid tidak akan memperbaharui kontraknya sebagai GPCEO firma perbankan itu yang akan tamat pada 1 Ogos 2022.

Menurut Maybank, Abdul Farid yang telah memegang jawatan sebagai GPCEO sejak 2 Ogos 2013 telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa beliau ingin mengikuti minat peribadinya selepas penggal ketiganya berakhir sebagai GPCEO.

Jelasnya, proses untuk mengenal pasti GPCEO baharu telah bermula dan sedang dijalankan, diketuai oleh Lembaga Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Muzaffar dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Maybank pada 1 Julai 2016 dan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman perbankan konvensional dan Islamik, baik dalam perbankan runcit mahupun perbankan borong di firma perbankan tempatan dan asing.

Beliau berjaya memimpin pasukan Perbankan Global Kumpulan Maybank (GGB) mencapai pelbagai kejayaan termasuk tawaran awam permulaan (IPO) runcit terbesar di Malaysia dan penerbitan sukuk digital pertama Malaysia.

Mohamed Rafique turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan Maybank pada tarikh sama, membawa bersama lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor korporat, termasuk sembilan tahun pengalaman sebagai Ketua Pegawai Kewangan beberapa syarikat senaraian awam.

Beliau turut terpilih sebagai Pegawai Bank Asia Pasifik Tahunan oleh Anugerah Triple A The Asset tahun lalu atas sumbangannya dalam industri perbankan dan kewangan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN