UNI-MLC minta KWSP hentikan skim i-Citra - Utusan Malaysia

UNI-MLC minta KWSP hentikan skim i-Citra

Seramai 5.8 juta pencarum dilaporkan tinggal baki duit kurang RM10,000 dalam akaun KWSP. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menghentikan skim i-Citra dengan segera kerana ia berisiko menyebabkan majoriti pencarum menjalani hari tua dalam kemiskinan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, pengeluaran yang dilakukan akibat pandemik Covid-19 akan memburukkan keadaan buat pencarum sehingga menyebabkan simpanan mereka tidak mencukupi.

“Kini, kesannya boleh dilihat dengan kadar simpanan selepas beberapa siri pengeluaran KWSP, ekoran kemudahan yang dibenarkan di bawah pakej rancangan ekonomi bagi menangani impak pandemik Covid-19, telah menyebabkan simpanan pekerja menjadi terlalu kecil dengan ada pencarum hanya ada sekitar RM1000.00.

“Perkara itu bukan sahaja memudaratkan kehidupan individu, tetapi landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga mencabar.

“KWSP ditubuhkan di bawah satu akta yang diluluskan Parlimen demi menjaga kepentingan para pencarum KWSP selepas bersara.

“Kita tidak seharusnya mengambil tindakan dan keputusan yang bercanggah dengan matlamat Akta KWSP dan dasar-dasar penubuhan KWSP itu sendiri. Jika tidak, KWSP akan lari dari matlamat penubuhannya,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, setiap badan berkanun berkaitan dengan sistem perburuhan dan pekerjaan ada tujuannya, dan ia harus dipertahankan demi kebajikan dan perlindungan menyeluruh para pekerja pada hari ini dan pada masa depan.

UNI-MLC simpati dengan keadaan pada masa depan para pekerja terutamanya apabila mencecah umur persaraan dan kedudukan simpanan yang rendah akan menyebabkan kesukaran untuk menyara kehidupan selepas persaraan.

Mohamed Shafie menekankan, kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan perlu mengambil pendirian segera dalam perkara ini demi masa depan para pencarum.

“Menjadi peranan dan tanggungjawab Kerajaan membantu pekerja-pekerja yang memerlukan sokongan kewangan, bukannya menyentuh simpanan hari persaraan yang ada di dalam KWSP pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN