Tumpu transformasi dalaman BCorp - Utusan Malaysia

Tumpu transformasi dalaman BCorp

ABDUL JALIL ABDUL RASHEED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan Berjaya, Abdul Jalil Abdul Rasheed menjangkakan 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik dengan tiga objektif utama sebagai pemacu organisasi bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, sambil terus menyelaraskan organisasi dengan lebih baik, Berjaya Corporation Berhad (BCorp) akan bersedia untuk pembukaan semula antarabangsa sempadan.

Katanya, beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada usaha transformasi dalaman Kumpulan.

“Mengikut pelan strategik tiga tahun, tumpuan saya termasuk mengurangkan hutang dan meneruskan pelupusan untuk mempercepatkan pemulihan di peringkat bawahan.

“Kami telah mengenal pasti apa yang menjadi teras dan apa yang tidak pada masa hadapan, kami jelas di mana lebih banyak sumber perlu diperuntukan,” katanya dalam kenyataan mengenai Tinjauan 2022 di sini.

Menurut Abdul Jalil, dalam perniagaan teras, Kumpulan tidak sabar untuk memasuki bidang pertumbuhan baharu sambil melabur semula dalam barisan produk sedia ada.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam berbuat demikian, sebaliknya akan memastikan segala usaha yang dilakukan adalah sesuai dalam persekitaran perniagaan yang lebih luas.

Tambah Abdul Jalil, perkara lain yang beliau mahu pada 2022 ialah sempadan antarabangsa dibuka semula.

Dari segi perbelanjaan pelancongan katanya, negara kehilangan kira-kira RM135 bilion pada 2020 dan anggaran semasa meletakkan kerugian sebanyak RM165 bilion pada 2021.

Tambah beliau, memandangkan negara sentiasa bergantung kepada pelancongan dan pasaran domestik pula terlalu kecil, maka adalah penting untuk sekatan sempadan diredakan supaya industri boleh pulih kembali.

Jelasnya, Kumpulan Berjaya sendiri tidak terlepas menerima `pukulan’ daripada krisis (akibat pandemik) apabila hasil kasar bagi operasi domestik Hotel Berjaya dan Resort turut terjejas.

Walau bagaimanapun, dengan program vaksin penuh dan penggalak, beliau optimis sektor hospitaliti akan menjadi lebih baik pada tahun akan datang.

“Secara dalaman, keutamaan adalah untuk mewujudkan rangka kerja yang lebih jelas dan melaksanakan pengoptimuman kakitangan serta organisasi yang lebih baik.

“Pada masa ini, kami sedang menilai semula banyak proses dalaman sedia ada dan saya berminat untuk menukar mana yang tidak lagi memberi manfaat kepada kami,” katanya.

Walaupun optimis, kata beliau, BCorp sedar terdapat banyak risiko yang berpotensi merencatkan rancangan, ia termasuk varian Covid-19 baharu, lebih banyak perubahan dasar kerajaan dan negeri, selain inflasi dan tingkah laku pengguna yang berkembang.

“Saya yakin bahawa pasukan saya dan saya akan dapat mengharungi tahun yang akan datang dengan baik,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN