PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyelesaikan pelupusan 100 peratus pegangan dalam anak syarikat penuhnya, TNB Power Daharki Ltd. (TPD) kepada AsiaPak Investment (AsiaPak), syarikat pelaburan swasta berpangkalan di Pakistan dan Hong Kong, dengan pertimbangan sebanyak AS$54.5 juta (RM229.04 juta).
Menurut TNB, TOD merupakan syarikat induk TNB Liberty Power Limited (LPL) yang memiliki dan mengendalikan loji jana kuasa kitar padu gas turbin 235MW yang telah dimula tugas 20 tahun lalu dengan perjanjian pembelian tenaganya akan tamat September 2026.
Katanya, jana kuasa yang terletak di wilayah Sindh, Pakistan itu merupakan satu daripada usaha niaga antarabangsa pertama TNB.
“Penjualan TPD itu, sejurus selepas pelupusan debentur wajib tukar di India Ogos lalu, menandakan satu lagi langkah penting dalam strategi TNB untuk menyelaraskan portfolio antarabangsanya dengan mengutamakan pertumbuhan tenaga boleh baharu (RE) dalam pasaran fokus seperti United Kingdom (UK), Eropah dan Asia Tenggara.
“Langkah ini adalah sejajar inisiatif TNB memanfaatkan pilihan pelupusan asetnya dalam pasaran bukan tumpuan dan menyalurkan semula pelupusan bagi mengembangkan portfolio RE syarikat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, pelupusan TPD dan LPL menandakan satu daripada inisiatif perancangan strategik TNB untuk memberi tumpuan kepada pasaran pertumbuhannya sambil melaksanakan visi global terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami sudah mengumumkan Hala Tuju Kelestarian baru-baru ini, satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Hala tuju ini ditunjangi komitmen untuk mengurangkan 35 peratus daripada intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya.
Baharin menjelaskan, urus niaga di tengah-tengah persekitaran ekonomi mencabar yang diburukkan oleh Covid-19 membuktikan ketahanan dan keupayaan TNB mengekalkan nilai pelaburan syarikat.
“Di samping itu, ia juga membolehkan TNB melangkah setapak lagi dalam peralihan menuju masa depan tenaga baharu yang rendah karbon, selaras dengan Hala Tuju Kelestarian dan keseluruhan wawasan ESG TNB,” katanya. – UTUSAN










