THiJARI Biz mudahkan potongan gaji ke akaun TH - Utusan Malaysia

THiJARI Biz mudahkan potongan gaji ke akaun TH

AHMAD Marzuk Shaary (kanan) diiringi Amrin Awaluddin melancarkan THiJARI Biz di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji memperkenalkan perkhidmatan dalam talian baharu, THiJARI Biz, khusus untuk memudahkan majikan menguruskan potongan gaji pekerja secara terus ke akaun Tabung Haji mereka.

Inisiatif digitalisasi terbaharu itu dikembangkan daripada aplikasi THiJARI yang sebelum ini dilancarkan bagi memudahkan pendeposit individu menguruskan akaun Tabung Haji mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, THiJARI Biz menyasarkan lebih banyak penglibatan majikan dalam urusan potongan gaji pekerja kerana inisiatif ini lebih mudah, sistematik dan selari dengan keperluan semasa.

“Sekarang ini kita ada sembilan juta pendeposit dengan sebahagian besarnya adalah kakitangan awam, sudah pasti (THiJARI Biz) akan dapat sambutan terbaik daripada majikan kerana tidak perlu lagi melalui proses manual yang memakan masa seperti sebelum ini.

“Perkhidmatan THiJARI Biz ini sangat mesra pelanggan dan merupakan satu daripada inisiatif transformasi digital Tabung Haji ke arah penambahbaikan perkhidmatan dalam talian dan automasi proses kerja supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien,” katanya sebelum melancarkan THiJARI Biz di sini, semalam.

Sebelum ini, urusan potongan gaji diuruskan oleh Tabung Haji secara manual apabila butiran dan bayaran caruman diterima daripada pihak majikan sama ada melalui e-mel, surat atau bersemuka di cawangan Tabung Haji yang prosesnya mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari.

Dengan pelaksanaan THiJARI Biz, segala urusan berkaitan butiran dan bayaran potongan gaji akan diuruskan secara kendiri oleh pihak majikan menerusi portal dalam talian dan pengkreditan potongan gaji akan hanya mengambil masa satu hari bekerja sahaja sekiranya maklumat lengkap dan akaun aktif.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, program automasi itu dijangka akan menarik lebih ramai pekerja sektor awam dan swasta untuk membuka akaun dan menabung sedikit demi sedikit secara berterusan melalui potongan gaji bagi memenuhi impian menunaikan haji.

“Buat masa ini kita menerima RM175 juta deposit setiap bulan melalui kemasukan potongan gaji dan kita sasarkan jumlah tersebut akan meningkat sehingga 20 peratus selepas inisiatif THiJARI Biz ini diguna pakai oleh kumpulan majikan.

“Kita harap dengan kemudahan yang disediakan menerusi THiJARI Biz, lebih banyak syarikat dan majikan baharu yang akan mendaftar yang boleh dilakukan secara dalam talian sahaja,” ujarnya.

THiJARI Biz boleh diakses melalui pautan www.thijari.com.my/thijaribiz – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN