Sunway perkenal sistem internet tandas pertama - Utusan Malaysia

Sunway perkenal sistem internet tandas pertama

KAKITANGAN Sunway Pyramid mencuba sistem internet tandas yang dipasang di pusat beli-belah itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Pyramid bakal memperkenalkan sistem Internet Tandas atau Internet of Toilet (IoT) yang akan menyaksikan pusat beli-belah itu beralih daripada sistem bilik air konvensional kepada sistem pengurusanyang lebih efisien untuk membekalkan pengalaman yang lebih terhubung dan lancar buat pengguna serta penyelia.

Menerusi kerjasama dengan pakar prasarana yang berpangkalan di Singapura, Rigel Technology, sistem tandas pintar yang pertama di Malaysia ini akan membantu mengoptimumkan prestasi dan efisiensi tandas komersial dengan memanfaatkan sistem IoT menerusi pengumpulan data. 

Bagi kerja penyelenggaraan tandas konvensional, penyelia perlu berhadapan dengan cabaran seperti prestasi kebersihan serta pelbagai kerosakan yang mungkin tidak dapat disampaikan dengan efektif kepada juruteknik, lantas menjurus kepada pengalaman yang kurang menyenangkan buat pengguna.

Masalah ini boleh diatasi dengan sistem IoT yang akan memberi manfaat dari segi pengalaman pengguna, kelestarian, selain menjimatkan kos. 

Pengurus Besar Sunway Pyramid, Jason Chin berkata, Sunway menjulang konsep bandar pintar serta perbandaran lestari sejak sekian lama dan langkah tersebut memenuhi konsep yang mencakupi sebuah visi holistik, turut melangkaui kepentingan yang bukan sahaja berpaksikan kemesraan alam semata-mata. 

“Satu lagi aspek terletak dalam penaiktarafan pengalaman buat para pelanggan, yang diterjemahkan kepada pembekalan kemudahan yang terbaik serta pengurusan fasiliti berprestasi tertinggi. Itulah harapan kami dengan IoT,” katanya dalam kenyataan.

Pengenalan IoT ini membolehkan tenaga pengurusan pusat beli-belah ini menyingkap fungsi dan prestasi tandas melalui sensor dan monitor khas yang dipasang pada barangan seperti tong sampah, dispenser sabun dan tisu; termasuk kelengkapan air yang utama seperti pili, ruang urinari, dan injap tekan; serta pemantauan persekitaran seperti kualiti udara, kelembapan suhu, kaunter individu dan panel maklum balas interaktif.

Ia juga dilengkapi sensor ammonia yang akan mengesan kewujudan ammonia untuk mencegah bau busuk di bilik air. Maklumat yang dikumpul ini akan dihantar ke pelayan awan yang boleh diakses melalui platform web dan aplikasi pintar mudah alih untuk memudahkan pengurusan dan penjejakan

Jason memberitahu, menerusi aplikasi mudah alih IoT misalnya, tukang cuci akan dimaklumkan tentang bilik tandas yang memerlukan perhatian segera dari segi kebersihan atau mengenai bahan-bahan tertentu yang perlu diisi semula, serta diberi penugasan dengan serta-merta.

“Kami sedar bahawa inovasi perlu diteruskan untuk menunaikan keperluan para pelanggan kami. Dari Sunway Smart Parking hingga Customer Engagement Hub dan Sunway eMalls, anjakan digitalisasi, inovasi dan teknologi kami baru sahaja bermula,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN