Sukar capai pertumbuhan positif - Utusan Malaysia

Sukar capai pertumbuhan positif

BANJIR luar biasa yang melandar Lembah Kelang telah merosakkan banyak harta-benda dan sektor perniagaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banjir beri impak besar, penyusutan boleh berlanjutan sehingga S1 2022

PETALING JAYA: Kejadian banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini mempunyai impak yang besar kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi ia berlaku di negeri-negeri yang banyak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti Lembah Kelang dan Pahang.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, berbanding di Pantai Timur, kemusnahan ekonomi yang disebabkan banjir di Pantai Barat lebih kritikal disebabkan kepadatan penduduk yang lebih tinggi dan aset-aset ekonomi yang lebih mewah.

Kata beliau, potensi ekonomi yang terhenti akibat kejadian itu juga menyukarkan negara memperoleh sumbangan pertumbuhan yang diharapkan.

“Di kala kita menumpukan perhatian kepada pelan pertumbuhan ekonomi, bangkit kembali daripada kesan pandemik dan hanya menjangkakan halangan daripada varian baharu Covid-19, musibah baharu iaitu banjir pula melanda.

“Ia hampir melumpuhkan beberapa daerah yang agak besar di Selangor seperti Shah Alam, Dengkil dan Hulu Langat.

“Selepas Lembah Kelang, banjir di Pahang juga agak besar. Beberapa pengusaha perniagaan sudah mengibarkan bendera putih kerana tidak mampu meneruskan perniagaan akibat kehilangan dan kerosakan harta benda serta barang perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baharom menjelaskan, kejadian tersebut menyebabkan pertumbuhan yang positif sukar dicapai pada tahun ini, walaupun bagaimana optimis pandangan yang diberikan.

“Malah, ia akan berlanjutan ke suku pertama 2022.

“Kerajaan juga dijangka terpaksa melakukan perbelanjaan fiskal yang baharu menguruskan impak pascabencana,” katanya.

Kerajaan menetapkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak tiga hingga empat peratus untuk tahun ini, sebelum mencapai pertumbuhan stabil 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun hadapan.

Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi Malaysia menyusut -0.5 peratus pada suku pertama, melonjak 16.1 peratus pada suku kedua dan kembali menguncup -4.5 peratus pada suku ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN