NEW YORK: Saham Tesla Inc. jatuh 6.4 peratus kepada AS$950.50 (RM4,021.57) dalam dagangan awal di New York, penyusutan 23 peratus daripada catatan tertingginya sebanyak AS$1,229.91 (RM5,203.75) pada 4 November lalu.
Nilai pasarannya turut merosot ke paras bawah AS$1 trilion (RM4.23 trilion) buat pertama kali sejak 25 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, saham tersebut berjaya mengurangkan kerugiannya untuk ditutup pada penyusutan 0.6 peratus dengan nilai pasaran AS$1.01 trilion (RM4.27 trilion).
Dalam kebanyakan dagangan, saham Tesla berjaya mengatasi kerugian besar pada dagangan awal untuk ditutup dengan kerugian yang lebih kecil.
Ia sekali gus menggambarkan prestasinya tidak banyak dipengaruhi laporan bahawa penguat kuasa membuka siasatan terhadap syarikat kenderaan elektrik itu.
Terdahulu, Reuters melaporkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa membuka siasatan terhadap Tesla berikutan dakwaan pengadu berkenaan kecacatan pada panel solarnya.
New York Times turut melaporkan pertikaian daripada jurutera syarikat itu berkenaan sistem pandu sendirinya yang merupakan subjek siasatan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan.
Penganalisis Wedbush, Daniel Ives berkata, perniagaan solar merupakan berita buruk buat Tesla.
Kata beliau, ia menambah kebimbangan dalam kalangan pelabur apabila pasaran yang lebih luas menyaksikan turun naik untuk syarikat-syarikat bernilai tinggi.
Tesla melalui jalan sukar sejak 1 Disember lalu apabila kebimbangan berkenaan varian Omicron dan mesej Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell menyempitkan pasaran.
Faktor-faktor ini memberi kesan besar terutamanya kepada saham teknologi dan Tesla mengalami penyusutan dalam tiga hari terakhir dagangan minggu lalu.
Penjualan saham oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk juga menarik sentimen pelabur. Musk setakat ini telah menjual lebih AS$10 bilion (RM42.3 bilion) sahamnya.
Mengambil kira Musk akan menjual 10 peratus sahamnya seperti yang dicadangkan dalam undian Twitter awal bulan lalu, saham Tesla akan terus tidak menentu dalam beberapa minggu ini.
Saham Tesla meningkat 43 peratus tahun ini, berbanding 22 peratus dalam Indeks S&P 500.
Kebanyakan keuntungan diperoleh pada Oktober lalu hasil aliran berita positif ketika itu, termasuk keputusan kukuh untuk suku ketiga dan tempahan besar dari syarikat sewaan kereta, Hertz Global Holdings Inc. – AGENSI










