
PETALING JAYA: Seramai 10 peserta termasuk wartawan, berjaya menamatkan Cabaran 1,600KM Modenas Dominar D400 merentasi Banjaran Titiwangsa dalam tempoh kurang 24 jam.
Cabaran itu dianjurkan oleh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dengan kerjasama Petron Malaysia (Petron), bulan lalu.
Konvoi itu seakan sama dengan cabaran Saddlesore 1000 yang dianjurkan oleh persatuan antarabangsa Iron-Butt berpengkalan di Amerika Syarikat.
Cabaran itu dianjurkan khusus bagi menguji ketahanan mental dan fizikal para penunggang serta keupayaan motosikal Modenas Dominar D400 yang telah dinaik taraf.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan telah melepaskan konvoi yang memulakan perjalanan sejauh 399 kilometer (km) dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas di Gurun, Kedah.
Menurut Modenas, konvoi kemudiannya meneruskan perjalanan menuju ke Kelantan melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan di Hutan Hujan Royal Belum, Perak.
“Perjalanan sejauh 315km dalam keadaan cuaca hujan lebat menuju ke Jerteh, Kelantan itu melalui jalan yang agak sempit. Peserta kemudiannya menempuh perjalanan sejauh 234 km ke Kijal, Terengganu, seterusnya ke Gambang, Pahang,” katanya dalam kenyataan.
Peserta kemudiannya menuju ke Johor, Melaka dan berakhir di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Ahli konvoi telah berjaya menempuh jarak sejauh 1,619km dalam masa 23 jam 8 minit termasuk meliputi beberapa laluan paling sukar.
“Ini adalah kali pertama Modenas menganjurkan konvoi sejauh 1,600km dalam tempoh 24 jam dan saya percaya ini juga kali pertama bagi mana-mana pengeluar motosikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran ini dan berjaya menamatkannya dalam masa kurang dari 24 jam. Kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal kami yang lain,” kata Roslan.- UTUSAN









