Perniagaan kembali rancak... - Utusan Malaysia

Perniagaan kembali rancak…

SEBAHAGIAN daripada kereta sewa yang terdapat di tempat letak kereta di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KIRA-KIRA 500 syarikat yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa di Langkawi merupakan antara pemain industri pelancongan yang terjejas teruk pada sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, perniagaan syarikat tersebut kembali rancak apabila pengunjung mula dibenarkan memasuki pulau legenda itu selepas pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi pada 16 September lalu.

Malah lebih 3,000 buah kereta sewa yang disediakan oleh syarikat agensi pelancongan di pulau itu penuh ditempah pada Disember ini.

Seorang pengusaha kereta sewa yang juga Pengurus Iwan Langkawi Enterprise, MUHAMMAD NORIHKWAN ROSMIZAN menzahirkan kesyukuran apabila pulau peranginan ini yang hampir lumpuh akibat pandemik Covid-19 kini kembali pulih sepenuhnya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan gelembung pelancongan Langkawi bagi membantu pemain industri pelancongan di Langkawi kembali ‘bernafas’,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, NUR AMALINA AZMAN di Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

MUHAMMAD NORIHKWAN ROSMIZAN

UTUSAN: Bagaimana nasib pemilik kereta sewa semasa PKP sejak tahun lalu. Difahamkan banyak kereta sewa terpaksa dijual ke­rana tidak dapat beroperasi berikutan ketiadaan pelancong dan pengusaha kereta sewa terpaksa menceburi kerjaya lain?
MUHAMMAD NORIHKWAN: Ada beberapa pengusaha kereta sewa yang telah gulung tikar dan menjual kereta sewa mereka kerana tidak mampu untuk meneruskan operasi. Semasa PKP, saya dan rakan-rakan perniagaan lain cuma dapat sewakan sebuah kereta sahaja sehari, itu pun kalau ada. Kadang-kadang seminggu dapat sewakan dua buah kereta. Jadi memang agak susah untuk menampung kos operasi kereta yang tinggi.

Macam saya sendiri, agak bernasib baik sebab tiada sebuah kereta pun yang saya jual sepanjang PKP. Tetapi bagi menampung keperluan harian, saya menjalankan perniagaan sam­pingan.
Antaranya, saya bekerja sebagai personal shopper coklat untuk penduduk di luar Langkawi. Selain itu, saya juga melakukan servis penghantaran barang kepada penduduk di seluruh Langkawi. Ada sesetengah pemilik kereta sewa yang lain turut melakukan pekerjaan sama bagi meneruskan kehidupan.

Berapakah modal yang diperlukan bagi memulakan semula perniagaan selepas lebih setahun tidak beroperasi kerana PKP?
Disebabkan kereta sewa saya tiada yang tersadai atau mengalami kerosakan teruk sepanjang PKP, saya menghabiskan lebih kurang RM3,000 bagi memperbaharui cukai jalan dan melakukan penyelenggaraan berkala. Ada beberapa pengusaha lain yang mengalami masalah kereta rosak, dan memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk sebuah kereta. Tambahan pula apabila kereta dibawa ke bengkel, mekanik pasti memberitahu ada bahagian yang rosak dan perlu diganti.

Pada awalnya, disebabkan kos yang tinggi, saya tidak mahu meneruskan perniagaan kereta sewa kerana berasa trauma de­ngan kitaran buka-tutup pulau ini seperti tahun lepas berulang kembali. Tetapi disebabkan ada permintaan, saya mula menyediakan kereta untuk disewa sebanyak dua ke tiga buah sehari. Bahkan pada waktu itu, ada beberapa kereta yang tidak disewakan kerana cukai jalan belum diperbaharui. Ketika itu, saya tidak berniat langsung untuk memperbaharui cukai jalan bagi kereta tersebut. Saya hanya berubah fikiran apabila melihat perniagaan kereta sewa semakin baik dan semua kereta saya mula disewakan.

Adakah kerajaan menyediakan bantuan dana dan pinjaman untuk membantu pemain industri pelancongan termasuk pengusaha perkhidmatan kereta sewa memulakan semula perniagaan?
Setakat ini, tiada pengusaha kereta sewa yang menerima bantuan daripada kerajaan bagi memulakan semula perniagaan masing-masing. Semasa PKP pertama dilaksanakan tahun lepas, ada moratorium automatik yang diberikan kerajaan kepada semua peminjam. Tetapi moratorium seterusnya memerlukan terlalu banyak prosedur yang menyusahkan dan membuang masa seperti menunggu sehingga lebih dua minggu untuk sesuatu yang tidak pasti. Jadi, saya hanya mengambil moratorium tambahan untuk sebuah kereta sahaja, dan tidak mengambil moratorium untuk kereta yang lain.

Berapakah agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa dan jumlah keseluruhan kereta sewa yang disediakan kepada pelancong. Adakah jumlah kereta sewa sedia ada mencukupi bagi memenuhi permintaan pelancong?
Ada kira-kira 500 pengusaha kereta sewa di Langkawi yang terdiri daripada syarikat atau orang persendirian. Satu pengusaha biasanya mempunyai sekurang-kurangnya lima hingga 10 buah kereta sewa, jadi jumlah kereta sewa di Langkawi dianggarkan lebih 3,000 buah.

Tetapi apabila semakin ramai pelancong memasuki Langkawi, jumlah kereta sewa tersebut tidak mencukupi. Bahkan sewaktu perayaan Deepavali baru-baru ini, walaupun kereta sewa telah habis ditempah tetapi saya masih menerima pertanyaan mengenai kereta sewa terutamanya pada saat-saat akhir. Ada di antara pelanggan yang tidak mendapat kereta sewa akhirnya terpaksa menggunakan khidmat e-hailing.

Selepas hampir empat bulan Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong, bagaimana sambutan yang diterima oleh agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa di Langkawi?
Pengusaha kereta sewa mula menerima tempahan yang banyak. Mereka juga telah menerima tempahan kereta sewa daripada pelancong yang akan memasuki pulau ini pada Januari hingga Mac tahun depan, sementara itu tempahan bagi Disember ini pula telah ditutup kerana telah penuh sehingga hujung bulan nanti.

Kadar sewaan juga telah kembali seperti biasa, dan tiada lagi potongan harga yang tinggi seperti pada September dan Oktober lalu. Saya juga dapat menyewakan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 buah kereta sehari, berbanding sebelum ini semasa PKP dilaksanakan. Walaupun saya menerima tempahan terlalu awal semasa harga sewaan masih rendah, tetapi saya tetap bersyukur kerana ada juga tempahan, bahkan sehingga semua kereta yang ada habis disewa.

Adakah pengusaha kereta sewa yang membawa masuk kereta dari luar bagi menampung keperluan kereta sewa di Langkawi?
Ada beberapa pengusaha kereta sewa yang membawa masuk kereta dari Alor Setar atau Kuala Perlis. Macam saya mempunyai rakan yang mengusahakan kereta sewa di sebelah luar. Jadi apabila permintaan tinggi di Langkawi, mereka akan menghantar kereta ke Langkawi. Dengan ini, pengusaha kereta sewa akan memperoleh keuntungan yang tinggi.

Apakah yang diharapkan di masa hadapan dalam perniagaan kereta sewa khasnya, dan industri pelancongan amnya?
Saya berharap perniagaan ini akan menjadi lebih baik lagi selepas pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi bermula 3 November lalu.
Pelancong asing biasanya akan tinggal di pulau ini lebih lama, sekurang-kurangnya dua minggu. Kadar harga yang ditawarkan kepada pelancong asing juga adalah lebih tinggi kerana mereka selalunya tiada masalah untuk membayarnya. Jadi kedatangan pelancong asing akan menambah pendapatan pemain industri pelancongan di pulau ‘Permata Kedah’ ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN