Omicron: Saham Asia tidak stabil - Utusan Malaysia

Omicron: Saham Asia tidak stabil

Pasaran saham Asia semakin mendapat tempat semalam apabila selera risiko pelabur global meningkat menjelang akhir tahun, walaupun bilangan kes varian Omicron meningkat di seluruh dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Ekuiti dan mata wang Asia bercampur-campur dalam sesi dagangan yang hambar semalam, apabila pelabur menilai potensi kejatuhan ekonomi akibat varian baharu Covid-19, Omicron.

Sementara itu, mata wang Korea Selatan, won mengukuh semasa peningkatan pertaruhan kenaikan kadar faedah oleh Bank of Korea.

Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes pertama varian baharu itu sekali gus membimbangkan pasaran kewangan Asia yang sedang berdepan dengan kembimbangan mengenai potensi kesan virus itu terhadap pemulihan ekonomi di rantau berkenaan.

Saham Filipina meningkat 1.3 peratus, pulih daripada kejatuhan sebanyak 3.5 peratus pada sesi sebelumnya manakala saham di Jakarta, Singapura dan Thailand didagangkan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus lebih tinggi.

Sementara itu, rupiah Indonesia dan ringgit Malaysia masing-masing menyusut 0.2 peratus manakala baht Thailand jatuh 0.4 peratus.

Pakar Strategi Pasaran Platform Dagangan Runcit IG, Yeap Jun Rong berkata, peserta pasaran mungkin lebih cenderung untuk mengurangkan risiko dalam pasaran sambil menunggu penjelasan tentang tahap penyebaran Omicron dan langkah yang diperlukan untuk mengatasi varian itu.

“Korea Selatan melaporkan lima kes pertama varian Omicron dengan jumlah kes Covid-19 di negara itu mencecah rekod tertinggi walaupun sekatan perjalanan dilaksanakan dengan lebih ketat.

“Ekuiti Seoul bagaimanapun meningkat 1.0 peratus apabila mereka tidak mengendahkan tajuk berita yang negatif dan terus menikmati data eksport dan keluaran kilang yang teguh dilaporkan oleh syarikat perdagangan Asia pada Rabu lalu.

“Won Korea Selatan meningkat 0.2 peratus kepada 1,177.10 berbanding dolar AS, peningkatan untuk hari keempat selepas inflasi pengguna November meningkat kepada paras tertinggi dalam sedekad, melebihi sasaran bank pusat sebanyak 2.0 peratus untuk lapan bulan berturut-turut,” katanya.

Jun Rong menjelaskan, itu akan menyebabkan orang ramai memberi tumpuan kepada mesyuarat bank pusat Korea Selatan untuk mengetahui kenaikan kadar selanjutnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN