PETALING JAYA: Fitch Ratings telah menyemak semula ramalan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) global untuk tahun ini dan 2022, berikutan pemulihan perlahan dalam trafik antarabangsa dan pengembaraan perniagaan yang terhad.
Menurut agensi penarafan itu, peningkatan kadar vaksinasi, lebih banyak pilihan rawatan koronavirus dan kelonggaran sekatan sempadan di lebih banyak negara, akan menyokong pemulihan pada kadar lebih pantas pada 2022 dan 2023, sebelum kembali ke tahap prapandemik 2024.
“Kami menjangkakan pendekatan gaya endemik untuk hidup dengan virus, permintaan terpendam, pertumbuhan ekonomi global dan dasar perjalanan kerajaan yang menyokong, mendorong trafik udara kembali ke tahap prapandemik dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Bagaimanapun, varian baharu yang sangat menular seperti Omicron, menyerlahkan kemungkinan operasi kekal tidak menentu dan risiko menurun kepada ramalan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Fitch Ratings berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesan Omicron, gelombang jangkitan dan tindak balas dasar tambahan boleh membawa kepada sekatan perjalanan dan trafik akan terhenti buat sementara.
“Semakan menurun terhadap jangkaan kami adalah neutral kepada penilaian.
“Mudah tunai yang mencukupi membolehkan kebanyakan syarikat penerbangan menavigasi turun naik yang berterusan dalam persekitaran operasi. Prestasi pembawa individu akan berbeza disebabkan pelbagai tahap pendedahan kepada laluan antarabangsa dan perjalanan perniagaan.
“Bagaimanapun, perkembangan berkaitan varian yang menyebabkan RPK lebih rendah daripada ramalan semasa, boleh memacu tindakan penarafan negatif pada masa depan bagi sesetengah penerbit,” katanya.
Fitch Ratings berkata, RPK global diunjurkan kira-kira 55 peratus, 30 peratus dan 10 peratus di bawah paras prapandemik masing-masing pada 2021, 2022 dan 2023.
Katanya, ramalan kes asas sebelum ini adalah kira-kira 35 peratus, 15 peratus dan 5 peratus di bawah paras prapandemik 2019.
“Trajektori pemulihan dijangka berbeza di seluruh wilayah.
“Sebagai contoh, RPK diramalkan 20 peratus di bawah paras 2019 untuk Amerika Utara, 35 peratus Eropah, Asia Barat dan Afrika, 35 peratus Asia-Pasifik dan 25 peratus Amerika Latin,” jelasnya. – UTUSAN










