KLANG: Syarikat pengeluar produk keluli, NS Bluescope Malaysia mengumumkan pembinaan ladang solar seluas 33.930 meter persegi yang boleh menjana tenaga suria sebanyak 7,007,364 kilowat jam (kWj) sepanjang tahun.
Menurut Presiden NS Bluescope Malaysia, Koh Boon Hong Kerja-kerja pembinaan tapak melibatkan pelaburan awal sebanyak RM16 juta itu dijangka dapat memperkenalkan penyelesaian berdaya tahan yang boleh mengekalkan penjanaan tenaga bersih selama sekurang-kurangnya 25 tahun.
Katanya, inisiatif terbaru dan terbesar menerusi NS BlueScope SunField yang terdiri daripada 9,629 panel fotovoltaik (PV) akan dibina di Loji Pembuatan Kapar NS BlueScope dengan anggaran siap menjelang Mei tahun hadapan.
“NS BlueScope SunField ialah contoh komitmen kami terhadap tenaga boleh diperbaharui.
Bagi mencapai pelepasan karbon sifar atau ‘Net Zero Greenhouse Gas Emissions’ menjelang 2050, kami sedang bersiap sedia untuk menyahkarbonisasi operasi kami melalui memperkasakan kakitangan kami dan menerima pakai teknologi baharu.
“NS BlueScope SunField ialah salah satu pencapaian utama dalam strategi perubahan iklim NS BlueScope Malaysia. Langkah yang telah diambil sebelum ini termasuk Lampu Jalan LED Suria, Penuaian Air Hujan, Pengoksida Terma Penjanaan Semula (RTO) Rawatan Air Sisa dan pengoptimuman berterusan bagi kecekapan tenaga dalam operasi pembuatan kami,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan ladang solar di Loji Pembuatan Kapar NS BlueScope, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Australia, Dr. Justin Lee dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.
Mengulas lanjut, Boon Hong memberitahu, tenaga bersih yang dihasilkan mempunyai kesetaraan pelepasan gas rumah hijau (GHG) iaitu mengurangkan 7,477 tan gas karbon dioksida setahun berbanding penjanaan bahan api fosil.
“Inisiatif sedia ada kami hari ini termasuk NS BlueScope SunField, mewakili pengurangan 23.9 peratus dalam gas rumah hijau.
“Menjadikan tahun 2018 sebagai garis asas, usaha ini dilihat sebagai satu langkah ke arah mengurangkan GHG sebanyak 30 peratus menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN










