Northport labuh tirai 2021 dengan prestasi pecah rekod - Utusan Malaysia

Northport labuh tirai 2021 dengan prestasi pecah rekod

AZMAN Shah Mohd. Yusof (tujuh dari kiri) bersama rakan-rakan niaga Northport semasa acara sambutan pecah rekod yang diadakan di Northport, Pelabuhan Klang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, melabuhkan tirai 2021 dengan cemerlang melalui `perception’ prestasi pecah rekod meskipun berhadapan dengan dua keadaan badai sempurna iaitu pandemik Covid-19 dan banjir kilat yang pernah dialami sehingga menjejaskan operasinya.

Pada pukul 11.15 pagi semalam, Northport berjaya mencatat rekod baharu dengan kendalian tahunan kontena tertinggi dalam sejarahnya selepas kontena ke-3,305,765 dipunggah dari kapal Interasia Horizon.

“Ia mengatasi rekod sebelumnya iaitu 3,305,764 TEU (bersamaan dua puluh kaki unit) yang telah dikendalikan pada 2010. Kendalian kontena untuk 2021 setakat ini adalah 20.7 peratus lebih tinggi berbanding 2020,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Menurut Northport, atas daya usaha yang tinggi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti telah membantu mengurangkan kesan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19 yang telah memberi impak besar terhadap aktiviti ekonomi dan perdagangan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, Northport telah memulakan program “Reinventing Northport” sejak pengambilalihan Northport oleh kumpulan MMC Corporation Berhad pada 2016.

Antaranya, termasuk memfokus semula strategi Northport untuk menjadi pintu masuk negara dan hab Intra-Asia, mengoptimumkan kos operasi, menggantikan peralatan yang lama, menambah baik fasiliti dan meningkatkan mutu perkhidmatan dan produktiviti.

“Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil dengan prestasi pecah recod untuk pengendalian kontena bulanan tertinggi setelah kami merekodkan 310,865 TEU pada Disember tahun lepas. Kami telah mencatatkan peningkatan yang stabil sehinggalah pandemik menjejaskan momentum prestasi kami,” katanya.

Cabaran utama untuk operasi Northport hadir pada awal tahun ini apabila ia mengalami kesesakan teruk di lapangan kontenanya disebabkan oleh bilangan singgahan kapal yang tinggi, di mana pemunggahan kontena dari kapal adalah melebihi daripada operasi pemuatan.

Walau bagaimanapun, Northport telah segera bertindak dengan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan kesesakan.

“Pelabuhan-pelabuhan dan pemain-pemain industri logistik telah bersatu dan melaksanakan peranan masing-masing, dibantu oleh agensi Kerajaan, dan diketuai oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (“LPK”), bagi memberi titik keseimbangan untuk operasi di Pelabuhan Klang,” katanya.

Secara keseluruhannya, 2021 adalah merupakan tahun yang terbaik buat Northport dengan banyak pencapaian yang bermakna antaranya memenangi “Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik” daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 21 Disember 2021, berjaya merekodkan kendalian bulanan tertinggi untuk segmen kargo konvensional iaitu 1,017,332 FWT (tan berat muatan).

Kejayaan lain termasuk penyempurnaan pemerolehan terminal Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang melalui perjanjian usahasama 50:50 antara Northport dan Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports). Northport turut mengekalkan status Pelabuhan Hijau pada tahun 2021,

Azman Shah berkata, Northport optimistik terhadap prospek 2022 dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, dengan gelombang baharu Covid-19 yang dibawa oleh varian baharu Omicron yang telah menjejaskan banyak negara di seluruh dunia.

“Namun begitu, kami akan meneruskan fasa “Reinventing Northport” dengan mengembangkan kapasiti lapangan kontena kami dan membeli peralatan baharu untuk meningkatkan lagi produktiviti dan mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun-tahun akan datang, dalam perjalanan transformasi kami untuk menjadi pelabuhan yang lebih Selamat, lebih Hijau, lebih Pintar dan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN