Syarikat paling berharga di dunia
NEW YORK: Nilai pasaran Apple Inc hanya mencecah AS$3 trilion (RM12.702 trilion) pada kelmarin, berikutan pencapaian menakjubkan sepanjang dekad lalu yang telah menjadikannya syarikat paling berharga di dunia.
Saham Apple perlu mencecah AS$182.86 (RM774.23) untuk merekodkan AS$3 trilion (RM12.702 trilion) dalam nilai pasaran, tetapi turun kira-kira 1 peratus pada sesi dagangan petang selepas mencecah rekod tertinggi sebelumnya.
Nilai saham Apple meningkat kira-kira 11 peratus minggu lepas, melanjutkan keuntungannya lebih 30 peratus untuk tahun itu.
Ia berikutan pelabur kekal yakin bahawa pengguna akan sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan iPhone, MacBook dan perkhidmatan seperti Apple TV dan Apple Music.
Pembuat iPhone itu berjaya meningkatkan nilai pasaran syarikat itu daripada AS$2 trilion (RM8.47 trilion) kepada hampir AS$3 trilion (RM12.702 trilion) dalam tempoh 16 bulan.
Ia didorong oleh penguasaannya ke atas sekumpulan syarikat teknologi bertaraf `megacap’ seperti Alphabet, syarikat induk Google dan Amazon.com Inc yang mendapat manfaat daripada kebergantungan orang ramai dan perniagaan kepada teknologi semasa pandemik.
Sebagai perbandingan, Apple mengambil masa selama dua tahun untuk meningkatkan nilai pasarannya daripada AS$1 trilion (RM4.23 trilion) kepada AS$2 trilion (RM8.47 trilion).
“Ia kini merupakan salah satu syarikat bernilai tinggi dalam pasaran, menunjukkan penguasaan teknologi AS di dunia dan betapa yakinnya pelabur bahawa ia akan kekal dalam tangan Apple,” kata Brian Frank, pengurus portfolio di Frank Capital.
Frank telah menjual kepentingannya dalam Apple pada 2019, apabila penilaian saham syarikat itu meningkat.
Menurut pemerhati, melangkaui pencapaian AS$3 trilion (RM12.702 trilion) akan menambah satu lagi kelebihan buat Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook, yang mengambil-alih kedudukan itu selepas Steve Jobs meletak jawatan pada 2011 dan menyelia pengembangan syarikat ke dalam produk dan pasaran baharu.
Saham Apple telah menokok sebanyak 22 peratus setahun sejak 1990-an, manakala S&P 500 bertambah kurang daripada 9 peratus setahun dalam tempoh yang sama.
Jika Apple mencapai kedudukan AS$3 trilion, Microsoft Corp akan menjadi satu-satunya syarikat dalam kelab AS$2 trilion (RM8.47 trilion), manakala Alphabet, Amazon dan Tesla telah melepasi AS$1 trilion (RM4.23 trilion). – AGENSI









