PUTRAJAYA: Industri francais negara kembali bangkit apabila merekodkan nilai jualan melebihi RM13 bilion dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan perasaan bersyukur apabila nilai jualan industri perniagaan itu mencecah RM14.6 bilion setakat 30 November lalu.
“Ini menunjukkan ada peningkatan signifikan hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya meskipun dunia masih berdepan cabaran pelbagai varian wabak maut berkenaan (Covid-19),” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2021 di sini, semalam.
Majlis itu yang merupakan penganjuran kali ke-23 sejak mula diperkenalkan pada 1997, dikelolakan bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan 13 kategori dipertandingkan.
Turut hadir acara berprestij pengiktirafan penggiat francais tempatan tahunan itu ialah menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, peningkatan nilai jualan industri walaupun tahun kewangan semasa 2021 masih berbaki sebulan lagi jelas menunjukkan ia ada banyak potensi besar.
“Kita juga patut berasa bangga kerana walaupun jenama francais tempatan baru wujud pada awal 1990-an, namun tanpa disedari ia telah berjaya menapak di lebih 70 negara,” jelasnya.
Arab Saudi ujar beliau, muncul sebagai negara yang paling banyak outlet francais jenama dari Malaysia setakat ini iaitu 744 buah diikuti Indonesia (670) dan Amerika Syarikat (424).
Pada masa sama, beliau gembira sektor berkenaan telah menyediakan lebih 80,000 peluang kerja dengan nilai sumbangan melebihi RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun.
Ia meliputi antaranya bayaran gaji, caruman dan upah kerja lebih masa yang seterusnya telah menjana balik penggiat perniagaan kecil dan mikro lain untuk ‘bernafas’ ketika tempoh sukar.
Sehingga kini jelasnya, jumlah perniagaan francais berdaftar di kementerian berkenaan ialah 1,093 buah termasuk 616 daripadanya jenama francais tempatan.
“Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan industri ini demi memastikan ramai pemain baharu dapat dilahirkan dan banyak pekerjaan diwujudkan untuk Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN










