PUTRAJAYA: Orang awam terutama penyelidik ekonomi kini boleh memanfaatkan portal Data Interaktif Pasaran Buruh Malaysia (MyLMID) bagi mendapatkan statistik tenaga kerja negara.
Portal bersepadu tersebut menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, merupakan inisiatif baharu diperkenalkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Objektifnya adalah bagi memudahkan pengguna dapat mengakses data buruh terkini dengan lebih pantas,” katanya ketika berucap merasmikan laman MyLMID secara maya di sini hari ini.
Beliau turut merasmikan webinar khas Forum Pasaran Buruh dengan kerjasama Biro Statistik Buruh Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Yayasan Peneraju Bumiputera.
MyLMID merupakan sebahagian usaha berterusan DOSM dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mendekatkan masyarakat agar mudah memahami ilmu perangkaan.
DOSM sebelum ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan digital lain antaranya MyLocal Stats dan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia secara percuma serta dalam talian.
Pelancaran MyLMID adalah kesinambungan daripada program Pemuka Pemulihan Ekonomi dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, dalam jangka masa panjang, portal itu akan ditambah baik dengan pelbagai sumber data terkini agar mampu digunakan secara optimum oleh pengguna.
“Kita sasar agensi kerajaan, ahli ekonomi, akademik, badan swasta dan individu dapat menilai kedudukan pasaran buruh serta menganalisis ramalan senario pada masa depan,” katanya.
Pembangunan MyLMID ujarnya, bertepatan dengan keputusan kerajaan menubuhkan Biro Statistik Buruh Malaysia di bawah DOSM sejak Jun 2020 bagi merapatkan jurang maklumat meliputi dimensi statistik penawaran, permintaan, perangkaan ekonomi tahunan, kos buruh, sektor informal, kehilangan pekerjaan, data graduan, perbandingan negara dan sebagainya.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, laporan sulung Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bakal diterbitkan paling awal bulan depan.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 atau MyCensus2020, turut memaklumkan bahawa seramai 32.3 juta penduduk atau 99.2 peratus populasi selesai dibanci pada 31 Oktober lalu.
Pelaksanaan bancian awam baharu itu bermula 7 Julai 2020 bersempena Hari Banci Negara dan sepatutnya tamat menjelang akhir tahun lepas namun dilanjutkan sehingga Oktober lalu. Ia melibatkan lebih 50,000 pembanci dan turut menawarkan e-Census atau soal selidik atas talian yang diperkenalkan ketika Banci 2010 susulan kekangan pergerakan akibat Covid-19. – UTUSAN









