PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) dan merasmikan demonstrasi Robot Penghantaran Berautonomi NanoMalaysia ( NAVi-D).
Membangunkan Kenderaan Autonomi Tahap 4 atau kenderaan tanpa pemandu di Malaysia merupakan inisiatif di bawah MOSTI melalui agensinya NanoMalaysia Berhad (NMB) sebagai persediaan membangunkan teknologi berkaitan dengan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.
NAVi akan menumpukan pada sektor pengangkutan manakala NAVi-D akan dilengkapi dengan sistem yang memenuhi keperluan sektor penghantaran jarak akhir. NAVi-D pula merupakan evolusi daripada NAVi yang memberi tumpuan kepada penghantaran bungkusan dan produk makanan.
Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, NAVi dicipta sebagai persediaan untuk sektor pengangkutan dan automotif Malaysia memasuki era sistem autonomi.
“Selain menyokong inovasi penerimagunaan 4IR, ia juga bertujuan untuk menangani kadar dan punca kemalangan dalam negara yang semakin meningkat berdasarkan Laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
“Kenderaan yang mencapai autonomi tahap empat itu mampu bertindak balas dengan cekap dalam menangani gangguan tumpuan dan refleks pemandu yang terhad,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi), semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi MOSTI, Tan Sri Dr. Mohd. Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Pengerusi NMB, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohamad Zamawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Park Corporation Sdn. Bhd., Dzuleira Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Adham berkata, MOSTI juga akan memanfaatkan portal yang disediakan melalui National Technology and Innovation Sandbox untuk menganjurkan projek pemula sebagai usaha untuk meningkatkan standard keselamatan jalan raya dengan menjalankan beberapa siri pengujian tertumpu kepada kawasan dan ruang selamat.
Jelasnya, pandemik Covid-19 telah menggesa dunia untuk melangkah ke era pendigitalan. Dari situ, timbul permintaan yang tinggi untuk mengurangkan sentuhan dalam berinteraksi. Perkembangan itu adalah selaras dengan inisiatif High Tech, Low Touch yang diterajui MOSTI.
Beliau memberitahu, perbezaan teknologi NAVi-D dengan sistem penghantaran makanan yang sedia ada di luar ialah, NAVi-D boleh diprogram untuk membuat penghantaran makanan daripada kedai makan sehingga ke pengguna.
“Saiz NAVi-D juga boleh diubah bergantung kepada keperluan end-user. Sebagai contoh, jika saiz kenderaan yang lebih besar diperlukan, teknologi NAVi-D ini boleh disesuaikan dengan permintaan spesifik pengguna,” katanya.
Sementara itu, Rezal Khairi berkata, sektor pengangkutan penumpang akan menjadi matlamat jangka sederhana hingga panjang bagi semua pihak penggunaan NAVi secara komersial bagi sektor ini.
Ujarnya, NAVi akan mewujudkan sistem penghantaran yang lancar dengan kadar kemalangan minimum akibat kesilapan manusia, menjimatkan masa serta penghantaran yang lebih baik dan cekap.
NAVi kini sedang menjalani fasa ujian di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil. Laluan jalan raya sepanjang 12 kilometer (km) dalam Fasa 1 hingga 3 TPM dijadualkan akan menjadi laluan yang diluluskan untuk AV di bawah rangka kerja makmal amali Hab Inovasi Antarabangsa TPM. – UTUSAN










