
Peralihan dunia analog kepada kemajuan teknologi digital telah banyak merubah gaya hidup, corak pemikiran serta pilihan kepada para pengguna sehingga ke hari ini. Ia turut mempengaruhi cara penyampaian dan penerimaan maklumat, komunikasi dan perhubungan sosial dalam segenap aspek urusan sama ada perniagaan mahu pun dalam kehidupan peribadi.
Jika dahulu, seorang ahli pemasaran, ejen jualan dan usahawan mempunyai pilihan yang terhad dalam memaksimumkan peluang dalam mengurus prospek pelanggan. Mereka perlu membina pengkalan data pelanggan melalui sumber yang terhad dan sebahagiannya juga memerlukan kos yang tinggi. Para usahawan sehinggalah ejen jualan perlu keluar hampir setiap hari untuk memenuhi janji temu, bertemu dan bergaul dengan segmen prospek pasaran secara fizikal di lokasi-lokasi pertemuan yang bersesuaian. Ia melibatkan kos pengangkutan, makan dan minum termasuk masa bagi membina establishment serta engagement pasaran sebelum menjana pelanggan.
Selain itu, kos untuk berkomunikasi melalui telefon atau surat menyurat juga bukanlah sedikit. Malah, menjadi sebahagian strategi bagi kebanyakkan organisasi perniagaan ketika itu memilih untuk melaksanakan kaedah Telemarketing dalam usaha menembusi potensi pasaran baharu kepada prospek pelanggan yang tidak dikenali (cold market). Sebelum sebarang perhubungan dilakukan, ahli pemasar juga perlu bijak dalam mengatur ayat perkenalan dan perbualan serta perlu mengenal pasti sasaran prospek merangkumi lokaliti, iaitu demografi dan geografi pasaran yang bersesuaian dengan aspirasi perniagaan.
Kesemua ini melibatkan kos setiap hari, iaitu modal prospecting yang besar jika dibandingkan dengan gerak kerja yang perlu dilakukan pada masa kini. Setiap syarikat perlu memastikan komitmen mengurus prospek melalui peruntukan bajet yang mencukupi dan mengharapkan pulangan pelaburan (ROI) yang dapat menjamin kelestarian perniagaan.
TEKNOLOGI DIGITAL
Namun, pengembangan teknologi digital telah merubah budaya tersebut dengan pelbagai alternatif pilihan melalui landasan dalam talian yang lebih mudah. Terdapat pelbagai platform dalam memperkukuhkan lagi setiap usaha pemasaran yang secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko pelaburan melalui pengurusan gerak kerja yang lebih kos efektif, strategik dan berkesan dalam menjana prospek pelanggan.
Kini, kaedah mengurus prospek pelanggan seperti yang dinyatakan di atas telah pun dipelopori oleh sebahagian besar perniagaan secara dalam talian. Segalanya berlandaskan perhubungan maya dengan memanfaatkan pengkalan data yang telah tersedia dalam membina establishment dan engagement pasaran, seterusnya menjana pelanggan dengan kaedah perhubungan yang bersesuaian dengan keberadaan prospek dan pelanggan.
Landasan digital seperti media sosial telah menjadi platform orang ramai berkumpul secara maya dengan kos yang jauh lebih menjimatkan. Antara kaedah pemasaran media sosial seperti periklanan Facebook, Instagram dan pelbagai lagi telah menjadi landasan kepada perniagaan, ahli pemasaran serta ejen jualan dalam memanfaatkan pengkalan data yang disediakan untuk mencapai potensi pasaran dalam menjana prospek pelanggan secara lebih mudah dan kos efektif.
Begitu juga dengan kemudahan Pemasaran Enjin Carian yang membantu usahawan dan organisasi mencapai prospek pasaran melalui enjin carian. Kesemua pengkalan data ini telah dipelopori dan didominasi oleh platform gergasi digital bagi memudahkan lagi sektor perniagaan untuk merangka pembangunan pemasaran kepada landasan prospek yang berpotensi dengan lebih baik.
Namun, apa yang diperlukan adalah kreativiti para pemasar, ejen jualan mahu pun usahawan dalam mencipta pemasaran kandungan yang mampu menarik prospek yang tersedia sebagai pelanggan. Mengenal pasti faktor motivasi pelanggan dalam mencipta pemasaran kandungan yang menarik perhatian prospek serta kaedah berkomunikasi melalui perantaraan digital seperti Facebook Messenger, Whatsapp dan Telegram juga turut menjadi antara faktor penting dalam memikat prospek menjadi pelanggan.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










