MB Inc. perkenal produk pelancongan di Expo Dubai - Utusan Malaysia

MB Inc. perkenal produk pelancongan di Expo Dubai

BEKAS kapal korek yang telah baik pulih oleh MB Inc. dan dijadikan tarikan pelancongan baharu di Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENTERI Besar Incorporated (Perak) atau MB Inc. cukup sinonim dengan mineral dan bahan galian di Perak dan mungkin ramai yang tidak menyangka, MB Inc. kini telah membangunkan sebuah produk eko-pelancongan unik di negeri ini.

Ia adalah sebuah tapak bekas perlombongan bijih timah yang diberikan nafas baharu yang sebuah Kapal Korek tinggalan sejarah atau lebih dikenali dengan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) yang berusia 83 tahun telah dipulihara melalui subsidiari MB Inc., Amanjaya TT5 Sdn. Bhd.

Satu lagi tarikan terbaharu, TT5 Maze Park atau Taman Pagar Sesat turut dibangunkan di kawasan tersebut. Dua produk itu akan diperkenalkan pada Expo Dubai yang sedang berlangsung di Dubai ketika ini.

Dalam temu bual bersama Wakil Negeri Perak (Utusan Malaysia), SAYED HESHAM IDRIS, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., ANUAR ZAINAL ABIDIN mengulas lanjut usaha memperkenalkan produk eko-pelancongan itu pada Expo Dubai.

ANUAR ZAINAL ABIDIN

UTUSAN: Apakah keistimewaan produk-produk pelancongan ini untuk menarik kedatangan pelancong luar?
ANUAR: MB Inc. berasa sangat bertuah kerana dapat memper­kenalkan produk pelancongan negeri Perak ke peringkat antarabangsa, di Expo Dubai yang sedang berlangsung ketika ini.
Keistimewaan TT5 Maze Park ini ialah Taman Pagar Sesat yang terletaknya di lokasi bersejarah dan tinggalan tapak perlombongan bijih timah itu sendiri, panorama menarik dikelilingi flora dan fauna dengan keterujaan lapan elemen digabungkan membentuk bentuk hati, yang pertama seumpamanya di dunia.
Setiap satu laluan daripada ele­men yang diketengahkan cukup sinonim dengan negeri Perak iaitu batu granit dan batu kapur dari Kuari di Simpang Pulai serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli. Setiap laluan di Taman Pagar Sesat mempunyai tarikan yang tersendiri, antara yang istimewa ialah galeri sejarah yang mempertontonkan perjalanan sejarah bijih timah di negeri Perak.

Apakah keunikan lain di TT5 ini?
Keunikan TT5 bukan sekadar Kapal Korek dan TT5 Maze Park, malah persekitarannya yang menghijau. MB Inc. turut membangunkan dan memulihara bekas tapak perlombongan bijih timah dengan menghijaukan sekitarnya dengan penanaman kira-kira 5,200 pokok dan ada antaranya ialah pokok nadir se­perti Cengal, Sentul, Karas dan Meranti Tembaga. Keunikan ini akan menambat hati pengunjung yang gemarkan lokasi dan suasana mendamaikan pada masa yang sama menyeronokkan buat seisi keluarga.

Pelancong dari negara manakah yang disasarkan untuk mengunjungi produk ini?
Kita menjangkakan keha­diran pelancong daripada Asia Barat dan Asia termasuk China dan Singapura. Selain itu, MB Inc. juga menjangkakan pelancong dari United Kingdom (UK) kerana Kapal Korek yang berada TT5 itu dibina di England sekitar 1930-an. Ini akan menarik pelancong luar negara untuk melihat lebih dekat lagi marvel engineering yang dibina ketika zaman kegemilangan bijih timah di negeri Perak.

Apa tarikan lain di TT5?
Tidak lupa tarikan terbaharu TT5 Maze Park yang juga turut menawarkan konsep petting zoo terbuka yang mana haiwan dibiarkan bebas sekitar taman tersebut, kafe The Can Tin yang membawa nostalgia pengunjung ke stesen keretapi lama era 70-an ketika Perak masih lagi pengeluar bijih timah dunia.

Bagaimana pula pelancong domestik?
Kami mengunjurkan kenaikan pelancong domestik sehingga 60 peratus manakala pelancong antarabangsa sebanyak 40 peratus, namun dalam keadaan masih lagi berdepan dengan Covid-19, MB Inc. berharap agar kedatangan pelancong juga akan bertambah dari masa ke semasa.

Apakah ada tawaran atau pakej khas untuk pelancong?
Menyedari hakikat kepen­tingan sejarah dan kepentingan bijih timah suatu ketika dahulu, MB Inc. menyediakan tour guide di dalam kapal korek. Ini merupakan suatu pengalaman yang berharga apabila berada di dalam sebuah monumen bersejarah. Oleh itu, peranan tour guide sangat penting dalam menerangkan secara terperinci kepada pengunjung berkaitan tapak warisan kapal korek ter­akhir yang menjadi ikon perlombongan bijih timah di Geo­park Kebangsaan Lembah Kinta.

Bagaimana dengan harga tiket?
MB Inc. menawarkan tiket masuk dengan harga promosi pada bulan Disember sebanyak RM16 bagi tiket dewasa dan kanak-kanak pula RM9. Bagi pelancong luar negara pula, sebanyak RM31 bagi dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak. Ke­semua harga tiket adalah tiket kombo, di mana pengunjung berpeluang masuk ke kapal korek bersama tour guide dan ke TT5 Maze Park.

Adakah MB Inc. bercadang untuk mewujudkan produk pelancongan baharu pada masa akan datang?
MB Inc. komited memberi tumpuan kepada produk pelancongan, warisan kapal korek terakhir namun pada masa yang sama akan memperkenalkan produk-produk pelancongan sampingan di sekitarnya untuk menjadikan Tanjung Tualang satu tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara. MB Inc. kini dalam perancangan membangunkan antaranya restoran, kedai kraftangan supaya limpahan ekonomi dapat dikongsi bersama dengan masyarakat sekitar.

Adakah pelancongan merupakan segmen baharu MB Inc. dalam menjana pendapatan?
MB Inc. diberikan mandat daripada kerajaan negeri untuk membaikpulih dan memulihara kapal korek serta menjadikan TT5 sebagai ikonik destinasi pelancongan di negeri Perak. Oleh itu, pihak kami telah dan akan membangunkan kawasan sekitar TT5 dan menjadikan kapal korek TT5 sebagai anchor attraction. Atas dasar tanggungjawab kepada kerajaan Negeri, pihak MB Inc. telah mengadakan kerjasama dengan pihak swasta dalam pelaburan pembangunan di TT5 termasuklah TT5 Maze Park.

MB Inc. juga terlibat dalam projek perumahan. Berapakah jumlah projek dan unit perumahan yang sedang dan akan dibina?
MB Inc. turut menumpukan peluang perniagaan kepada sektor perumahan mampu milik dengan harga jualan seunit rumah berharga RM250,000 dan ke bawah. MB Inc. turut me­nyasarkan sebanyak 3,427 unit rumah teres yang akan diba­ngunkan secara berperingkat bermula tahun depan.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 713 unit adalah rumah kos rendah berharga RM90,000 dan ke bawah, 256 unit kini dalam proses pembinaan yang dijang­ka siap secara berperingkat mulai 2022 manakala 475 unit masih dalam perancangan. MB Inc. juga turut bekerjasama de­ngan sembilan pemaju bagi membangunkan projek perumahan rumah mampu milik.

Apakah kelainan yang ditawarkan dalam projek perumahan MB Inc.?
Selain memenuhi syarat dan terma Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), antara ciri-ciri keistimewaan pembangunan ini adalah termasuk semua adalah jenis Rumah Teres dengan hakmilik individu sendiri (bukan hakmilik strata), dibina oleh syarikat pemaju yang berpengalaman dan berkemampuan, pendekatan pembinaan yang mesra alam dengan teknologi IBS untuk mengurangkan pembaziran bahan serta pencemaran di kawasan sekitarnya.

Selain itu, sebagai GLC yang bertanggungjawab dan menyokong pembangunan mampan, konsep pembangunan yang mampan serta kelestarian alam sekitar turut diberikan keutamaan seperti kawasan lapang dan kolam dikekalkan sebagai kawasan hijau serta untuk aktiviti riadah bagi penduduk setempat selain konsep susun atur rumah yang praktikal dan teratur untuk keselesaan penghuni rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN