Kesejahteraan rakyat Malaysia merosot - Utusan Malaysia

Kesejahteraan rakyat Malaysia merosot

KRISIS ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19 yang mengakibatkan banyak kematian serta ramai hilang pekerjaan, telah menjejaskan tahap kesejahteraan rakyat Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir semua komponen kesejahteraan yang diukur dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) terkesan disebabkan pandemik Covid-19 yang mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi dalam negara tahun lalu..

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia menyebabkan prestasi IKRM menurun sebanyak 2.1 peratus kepada 118.3 mata berbanding 120.8 mata pada 2019.

Kata beliau, kedua-dua subkomposit kesejahteraan iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial menunjukkan penurunan.

“Sumbkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan penurunan 3.4 peratus pada 2020 kepada 126.2 mata dan subkomposit kesejahteraan sosial pula menurun 1.2 peratus kepada 114.0 mata,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Uzir, berdasarkan keseluruhan 14 komponen IKRM, tujuh daripadanya merekodkan penurunan dengan tiga komponen merekodkan penurunan paling tinggi iaitu indeks kebudayaan (-16.1 peratus), indeks hiburan dan rekreasi (-15.7 peratus) serta indeks pendapatan dan pengagihan (-9.7 peratus).

Jelas beliau, pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti sosial dan larangan merentas negeri serta daerah, selain penutupan pusat hiburan dan rekreasi telah menyebabkan penurunan ketara bagi ketiga-tiga komponen tersebut.

“Pada masa sama, langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 turut memberi implikasi positif kepada kesejahteraan rakyat.

“Antaranya, indeks keselamatan awam yang mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 10.9 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan indeks ini disumbang oleh penurunan kadar jenayah dan bilangan kemalangan jalan raya pada 2020,” katanya.

Malah, kata Mohd. Uzir, indeks kesihatan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus yang menunjukkan penjagaan kesihatan terus menjadi fokus dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat terutamanya apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Indeks penyertaan sosial juga meningkat 2.5 peratus susulan penyertaan aktif sukarelawan dalam menawarkan bantuan terutama mereka yang terjejas akibat PKP.

“Secara keseluruhannya, prestasi IKRM pada 2020 menunjukkan kesejahteraan rakyat sangat terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN