PETALING JAYA: Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah tersenarai dalam Wira Dermawan Asia oleh Forbes Asia untuk kali keempat.
Senarai itu menghargai individu yang terbukti telah menunjukkan komitmen peribadi dalam memperjuangkan pelbagai usaha sosial.
Menurut Sunway Group, Cheah merupakan dermawan kedua di Asia yang tersenarai sebanyak empat kali selepas 2019, 2015 dan 2009 serta menjadi satu-satunya rakyat Malaysia dalam senarai tahun ini.
“Cheah diiktiraf di atas komitmennya terhadap pendidikan, selain usaha beliau mewujudkan dana pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion bagi memastikan Sunway Education Group meneruskan kelangsungan secara sendiri serta menawarkan lebih banyak biasiswa kepada penuntut yang layak daripada golongan berpendapatan rendah.
“Walaupun sebahagian besar daripada tabung itu adalah daripada sumber dana peribadi Cheah, beliau turut bekerjasama dengan kerajaan membabitkan pindaan peraturan sedia ada yang mensyaratkan sesebuah yayasan mengagihkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dana tahunan diterima pada tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan.
Sunway Group menjelaskan, inisiatif itu adalah tambahan kepada komitmen Cheah sebelum ini iaitu untuk menghadiahkan kesemua kepentingan peribadinya dalam Sunway Education Group yang bernilai berbilion ringgit kepada Yayasan Jeffrey Cheah.
Pada tahun ini, senarai tahunan oleh majalah kewangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyenaraikan 15 kelompok dermawan terkemuka di serata Asia seperti Pengasas Bersama Alibaba, Joseph Tsai; Pengasas Vingroup dan orang terkaya Vietnam, Pham Nhat Vuong serta jutawan berstatus bilionair India, Anil Agarwal.
Rakyat Malaysia yang pernah tersenarai termasuk tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Francis Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group ,Tan Sri Tony Fernandes. – UTUSAN










