PETALING JAYA: Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) memperkenalkan kemudahan pembiayaan tenaga hijau baharu, HLB Pinjaman/Pembiayaan-i Solar Plus yang merupakan penyelesaian pembiayaan mudah untuk pemilik rumah memasang sistem tenaga solar mesra alam.
Kemudahan itu juga akan membolehkan pemilik rumah menjimatkan bil elektrik bulanan mereka.
Menurut HLB, pinjaman atau pembiayaan-i Solar Plus itu terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada HLB Home yang ingin memasang panel solar di kediaman mereka sama ada yang dalam pembinaan atau telah siap.
“Bank menawarkan margin pembiayaan sehingga 105 peratus ke atas nilai hartanah, dengan pilihan pembiayaan fleksibel bermula daripada RM15,000 sehingga RM60,000 untuk tempoh tiga hingga 10 tahun, atau sehingga umur 70 tahun peminjam utama apabila tempoh matang pinjaman, yang mana lebih awal,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, sebagai permulaan, HLB telah bekerjasama dengan tenaga solar pakar sistem tenaga ERS Energy dan Solaroo Systems untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan yang komprehensif, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan sehenti kepada pelanggan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pelancaran itu merupakan satu lagi inisiatif daripada bank untuk menyokong sasaran negara meningkatkan kapasiti terpasang untuk tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035.
“Kami percaya bahawa institusi kewangan akan menjadi komponen penting dalam membantu mengemudi peralihan ke arah sumber tenaga yang mampan,” katanya.
Tambah beliau, tenaga boleh diperbaharui mempunyai pertumbuhan yang ketara berpotensi untuk menyokong agenda ekonomi rendah karbon negara dan memberi penjimatan kos tenaga untuk isi rumah.
“Kami berharap kemudahan pembiayaan tenaga hijau akan membolehkan pemilik rumah memainkan peranan dalam peralihan ke arah ekonomi rendah karbon,” jelasnya. – UTUSAN









