Grab rai penyenaraian di Nasdaq - Utusan Malaysia

Grab rai penyenaraian di Nasdaq

MAJLIS meraikan penyenaraian Grab di Nasdaq, berlangsung di Singapura, kelmarin. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula sebagai MyTeksi, pembiayaan awal dari Cradle Fund

PETALING JAYA: Peneraju superapp di Asia Tenggara, Grab Holdings Limited meraikan penyenaraiannya di bursa saham Nasdaq Amerika Syarikat (AS).

Grab bermula sebagai MyTeksi dengan beberapa pembiayaan awal daripada kerajaan melalui Cradle Fund. Penyenaraian adalah yang terbesar oleh sebuah syarikat Asia Tenggara.

Aplikasi super itu kini beribu pejabat di Singapura. Majlis deringan loceng pertama pembukaan bagi memperingati penyenaraian itu telah diadakan di negara tersebut semalam.

Majlis tersebut diadakan selepas syarikat pengangkutan dan penghantara yang berusia sembilan tahun itu meng­umumkan penggabungan de­ngan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) bernilai AS$40 bilion (RM169.12 bilion).

Pada April lalu, Grab telah bergabung dengan Altimeter Growth Corp., SPAC daripada Altimeter Capital Management dan meraih AS$4.5 bili­on (RM19.04 bilion), termasuk AS$750 juta (RM3.17 bilion) daripada Altimeter.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, penting bagi syarikat pengangkutan dan penghantaran untuk tidak melupakan asas pemba­ngunannya.

“Malah, nadi dan usaha keras warga kerja Grab untuk menyediakan khidmat kepada rakan niaga kami dan sebagai pula­ngan, dedikasi mereka dalam memberikan khidmat kepada para pelanggan telah meletakkan Grab pada kedudukannya hari ini.

“Itu merupakan sebab me­ngapa kami menganjurkan maj­lis itu di tempat kami. Ia amat bermakna untuk berada di sini bersama-sama komuniti kami dan berkongsi saat ini bersama mereka, meraikan lembaran baharu perjalanan Grab,” katanya pada majlis itu.

Bagaimanapun, saham Grab jatuh mendadak pada hari pertama dagangannya di Nasdaq selepas bergabung dengan Altimeter Growth Corp.

Saham syarikat itu susut 21 peratus kepada AS$8.67 (RM36.68). Pandemik Covid-19 menjejaskan teruk perniagaan syarikat seperti Grab, dengan varian Omicron menyebabkan sekatan baharu terhadap perjalanan.

Singapura yang menjadi pangkalan Grab melarang kemasukan pengunjung dari tujuh negara Afrika minggu lalu dan mengumumkan ia mengesan dua kes import Omicron.

Bagaimanapun, Anthony tetap yakin keadaan akan menjadi lebih baik untuk Grab apabila lebih ramai orang mendapatkan vaksin di rantau ini dan meneruskan strategi untuk hidup dengan Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN