PETALING JAYA: Grab Malaysia memperkenalkan `Grab Travel Pass’ sebagai sokongan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan negara.
Menurut Grab, industri pelancongan Malaysia telah mengalami penguncupan ketara akibat pandemik Covid-19 iaitu penurunan sebanyak 71 peratus sepanjang tahun lalu.
“Kemorosotan paling dirasai oleh 3.5 juta warga Malaysia yang berkerjaya di bidang pelancongan, yang turut menyumbang lebih 23 peratus kadar guna tenaga Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas inisiatif Grab itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy SHukri berkata, ia selaras dengan sasaran kementerian untuk menyemarakkan semula ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Beliau berharap, dengan pelbagai tawaran daripada Grab, warga Malaysia akan tertarik dan berminat meneroka pelbagai destinasi di negara ini serta dapat menyemarakkan semula pelancongan domestik.
“Ini akan membantu mereka yang berkecimpung dalam industri pelancongan tempatan untuk bangun semula dalam menjalani kehidupan dengan selesa.
“Menerusi inisiatif dan kerjasama seperti ini, diharap dapat mengeratkan lagi hubungan supaya kita dapat berganding bahu menangani kemelut yang dihadapi sekarang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, teras wawasan Grab ialah sentiasa merangka kaedah baharu bagi memenuhi keperluan warga Malaysia yang kian berubah.
“Kami turut terangsang bekerjasama dengan rakan yang serupa minda dan tujuan, untuk memajukan lagi cara warga Malaysia merancang perjalanan kembara dan pelancongan ketika era normal baharu.
“Tiada yang terbaik daripada mengemukakan sumber tunggal supaya warga Malaysia dapat mengakses dengan selesa segala urusan untuk memenuhi keperluan percutian mereka.
“Dengan sokongan MOTAC, diharap dapat menyumbang kepada kerancakan semula industri pelancongan tempatan. Kami sangat mengalu-alukan setiap inisiatif kerjasama dengan pelbagai pihak demi mempertingkat keselesaan warga Malaysia amnya,” katanya. – UTUSAN










