GMES, PEGT meterai perjanjian jualan gas - Utusan Malaysia

GMES, PEGT meterai perjanjian jualan gas

MAJLIS pertukaran dokumen penjualan gas antara GMES dan PEGT di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gas Malaysia Energy and Services Sdn. Bhd. (GMES), anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Berhad telah menandatangani Perjanjian Jualan Gas (GSA) dengan Petronas melalui cabang pemasarannya, Petronas Energy & Gas Trading Sdn. Bhd. (PEGT).

Perjanjian itu adalah kesinambungan bekalan gas asli jangka panjang daripada PEGT kepada GMES dalam usaha menyokong keselamatan bekalan tenaga di Malaysia, menyediakan pertumbuhan sosial dan ekonomi serta menyumbang kepada kejayaan liberalisasi pasaran gas.

Ketua Pegawai Eksekutif PEGT, Khairuddin Khalik berkata, gas asli telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi Malaysia selama beberapa dekad dan kebolehcapaiannya telah menggalakkan penggantian bahan api negara kepada sumber tenaga yang lebih bersih, meningkatkan keselamatan tenaga dan memacu kemajuan sosioekonomi negara.

“Kami tidak sabar untuk menjalinkan kerjasama selanjutnya dengan GMES sambil kami beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

“Melalui kerjasama itu juga menunjukkan komitmen dan langkah penting yang kami ambil ke arah liberalisasi pasaran pada 2022,” katanya dalam kenyataan sempena majlis menandatangani perjanjian GSA, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia Berhad, Ahmad Hashimi Abdul Manap dan Naib Presiden Gas & Tenaga Petronas, Abdul Aziz Othman.

Sementara itu, Ahmad Hashimi berkata, banyak pertubuhan perniagaan kini beralih ke arah alternatif tenaga yang lebih bersih untuk bergerak ke arah masa depan rendah karbon.

“Kami tetap optimis pertumbuhan jangka panjang kami berkemungkinan didorong oleh gas asli yang memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga negara ke arah tenaga yang lebih bersih.

“Melangkah ke hadapan, kami menggalakkan penggunaan gas asli sebagai alternatif tenaga yang lebih bersih dan akan membawa nilai terus kepada pelanggan melalui pelbagai perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN