NEW DELHI: Hyundai Motor Co. Korea Selatan merancang untuk melabur 40 bilion rupee (AS$530 juta/RM2.2 bilion) bagi pelancaran enam kenderaan elektrik (EV) di India menjelang 2028, menjadikannya usaha pemanduan bersih di negara dengan antara bandar paling tercemar di dunia itu.
Pengarah jualan dan pemasaran Hyundai Motor India, Tarun Gard berkata, syarikat pengeluar kereta kedua terbesar India itu akan melancarkan model elektrik mampu milik dan premium termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sedan, bermula dengan EV pertamanya pada 2022.
“Kami mahu menjadi penyumbang utama kepada permulaan EV di India,” katanya.
Peraturan pelepasan yang lebih ketat oleh kerajaan mendorong pembuat kereta di seluruh dunia untuk melabur dalam EV, yang jualannya dijangka meningkat kepada kira-kira satu per empat daripada jumlah jualan kenderaan global menjelang 2030 daripada kira-kira dua peratus hari ini.
Di India, EV menyumbang kurang daripada satu peratus daripada jumlah jualan kereta, tetapi kerajaan menyasarkan bahagian sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Rancangan Hyundai juga dibuat ketika pembuat kereta elektrik terbesar dunia Tesla Inc sedang bersedia untuk melancarkan keretanya di India dan telah melobi kerajaan untuk menurunkan duti import ke atas EV.
Hyundai menyertai pesaing Tata Motors dan Mahindra & Mahindra dalam meletakkan kelebihannya di belakang EV ketika India mendorong pembuat kereta untuk menggunakan tenaga elektrik kerana inisiatif itu dapat mengurangkan pencemaran dan import bahan api.
Pengeluar kereta terkemuka negara, Maruti Suzuki, bagaimanapun mempertaruhkan bahan api ganti dan teknologi hibrid, seterusnya menjangka untuk melancarkan EV pada 2025.
Kereta yang dibina pada platform elektrik khususnya akan mempunyai jarak sehingga 800 kilometer, manakala kereta lain akan dapat berjalan sejauh 350 hingga 400 kilometer dengan sekali cas, kata Garg.
Syarikat itu pada 2019 melancarkan Kona EV di India tetapi jualannya tidak memberangsangkan kerana harganya yang tinggi dan masalah infrastruktur pengecasan pada masa itu.
Garg berkata, Kona mengajar syarikat itu keperluan untuk menjadikan EVnya mampu milik, sambil turut menyediakan penyelesaian pengecasan yang berbeza.
“Hyundai sedang berbincang dengan pembekal untuk sumber tempatan dan mengeluarkan komponen untuk EV yang akan membantu menjadikan kereta itu lebih mampu milik. Selain menyediakan pengecas rumah, Hyundai juga sedang mencari rakan
kongsi untuk membentuk hubungan strategik bagi menyediakan kemudahan pengecasan awam,” ujarnya. – AGENSI










