KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor secara rasminya menerima cadangan Jajaran Utara Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta meluluskan Jajaran Seksyen C projek itu.
Kelulusan itu melibatkan laluan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya berharap pembinaan projek tersebut akan mengambil kira impak alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain, terutamanya melibatkan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli.
Kata beliau, kelulusan yang diberikan juga adalah berdasarkan pemakluman Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRLSB) bahawa ECRL tidak akan menjejaskan kawasan berisiko seperti Permatang Kuarza Gombak yang kini dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah bersetuju untuk menyegerakan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi membolehkan kerja-kerja awal ECRL seperti pengukuran dan penyiasatan tanah dijalankan.
“MMKN bersetuju agar permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(a) dan pengisytiharan di bawah Seksyen 4 APT bagi daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang dijalankan selaras dengan Jajaran Utara ECRL di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya untuk Majlis Penyerahan Dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, di sini semalam.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Duta Republik Rakyat China, Yu Jun serta kepimpinan tertinggi China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) yang menyertainya secara maya.
Menurut Amirudin, pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan, MMKN serta agensi dan jabatan kerajaan Selangor telah mengadakan 37 sesi libat urus berkenaan projek tersebut.
Sementara itu, Ka Siong berkata, keputusan kerajaan Selangor itu akan merealisasikan pembinaan 665 kilometer jajaran ECRL yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan sebanyak 127 kilometer.
Malah, kata beliau, Jajaran Utara ECRL juga akan memasukkan Pintasan Serendah yang akan berfungsi sebagai laluan pelepasan kargo yang penting untuk perkhidmatan rel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Walaupun berlatarbelakangkan kejuruteraan rel yang kompleks di atas rupa bentuk muka bumi berbukit dan lintasan sungai yang lebar, MRLSB dan CCCC telah mencapai persetujuan yang saling menguntungkan berdasarkan anggaran kos pembinaan ECRL pada harga RM50.27 bilion.
“Anggaran kos ini mengambil kira kerja terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer menggunakan dua mesin pengorek terowong (TBM) serta Terowong Serendah sepanjang 14.10 kilometer melalui kaedah letupan dan gerudi,” katanya. – UTUSAN










