GEORGETOWN: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan firma latihan teknologi maklumat (IT), BEYOND4
dan Digital Penang bagi meningkatkan penglibatan digital dalam perniagaan dan membangunkan bakat digital terutama di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, MDEC menyasarkan untuk membangunkan ekonomi digital agar Malaysia menjadi sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, bertunjangkan inovasi, kelestarian dan kemakmuran bersama serta sebagai Hab Digital ASEAN.
Katanya, MoU selama dua tahun antara MDEC, Digital Penang dan BEYOND4 itu menandakan langkah ke depan dalam meningkatkan ekonomi digital di Pulau Pinang menerusi kerjasama Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta.
“MDEC akan menyediakan rangkaian bimbingan untuk memudahkan inisiatif pembangunan bakat oleh BEYOND4.
“Menerusi kepakaran yang ada pada MDEC ia dapat memudahkan peluang pembiayaan, menyediakan aktiviti akses pasaran, mencipta serta menyokong struktur ekosistem digital untuk membantu meningkatkan kemahiran bakat baharu dalam industri digital,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU antara MDEC, Digital Penang serta BEYOND4 di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Beyond4, S.T. Rubaneswaran.
Menurut Mahadhir, perkongsian sumber sebegini akan membantu syarikat pemula mempercepatkan usaha mengembangkan perniagaan terutama dalam bidang digital.
“Ia juga dapat mempercepatkan langkah dalam memastikan Malaysia berjaya mencapai sasaran sebagai hab digital ASEAN dan mencapai matlamat Ekonomi Digital Malaysia (MYDIGITAL),” katanya.
Dalam pada itu, Rubaneswaran berkata, BEYOND4 bakal melabur RM5 juta dalam tempoh 36 bulan untuk melatih 5,000 bakat tempatan dalam bidang teknologi digital.
“Kami menyasarkan untuk mewujudkan 50 syarikat baru yang akan menjadi penyumbang kepada Ekonomi Digital Malaysia.
“Bagi Pulau Pinang, hab latihan adalah di Batu Kawan dan di sini dan kami akan melatih bakat-bakat baharu dalam bidang digital serta membantu menyediakan mereka untuk pasaran kerja digital,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini BEYOND4 mempunyai hab latihan yang berpusat di Kuala Lumpur dan pihaknya juga menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya lapan hab latihan di seluruh negara dalam tempoh terdekat.
“Antara lokasi hab latihan yang telah dikenalpasti adalah di Melaka, Johor, Pahang serta beberapa negeri lain lagi.
“Kami yakin usaha pencarian bakat ini mampu menyediakan bakat-bakat baharu dalam bidang teknologi digital dengan pantas,” katanya. – UTUSAN










