PETALING JAYA: Cagamas Berhad melancarkan Skim Saraan Bercagar (SSB) bagi membantu melancarkan aliran tunai warga emas di negara ini melalui kaedah gadai janji berbalik.
Pengerusinya, Datuk Bakarudin Ishak berkata, SSB merupakan produk pembiayaan yang mana pemilik-pemilik rumah yang layak boleh mencagarkan kediaman mereka bagi mendapatkan pendapatan bulanan secara tetap.
Kata beliau, dalam tempoh cagaran tersebut, pemilik rumah masih boleh tinggal di kediaman tersebut sehingga akhir hayatnya sebelum kediaman tersebut dijual bagi melunaskan jumlah terkumpul pinjaman.
“Sekiranya terdapat sebarang lebihan daripada penjualan, Cagamas akan memulangkan lebihan hasil jualan tersebut kepada pewaris yang layak.
“Sebaliknya, jika hasil jualan kurang daripada jumlah kumulatif pinjaman yang diambil, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Cagamas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya untuk Majlis Pelancaran SSB yang diadakan di Hotel Sheraton, di sini semalam.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar; Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tahir serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Datuk Chung Chee Leong.
Menurut Chee Leong, KWSP akan membantu memasarkan SSB melalui rangkaian pejabat mereka di seluruh negara selain memberi penjelasan kepada pelanggan yang berminat untuk memohon skim tersebut manakala AKPK akan bertindak sebagai badan penasihat kepada pelanggan.
Kata beliau, SSB akan mula ditawarkan sebagai skim perintis di Lembah Kelang dan permohonan untuk skim itu disasarkan untuk dibuka bermula bulan hadapan dengan peruntukan dana awal sebanyak RM100 juta.
Sementara itu, Tengku Zafrul mengumumkan pengecualian duti setem untuk dokumen transaksi skim tersebut yang dapat digunakan untuk dua tahun pertama selepas ia dilancarkan.
“Pengecualian ini akan membantu mengurangkan kos untuk peminjam yang akan menerima manfaat skim ini dan memastikan ia boleh diakses oleh lebih ramai pesara,” katanya. – UTUSAN










