PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini telah menyempurnakan Projek Sistem Tenaga Fotovoltan (PV) di Perkampungan Rumah Rakit, Tanjung Surat, Johor Darul Takzim.
Projek bernilai RM87,800 yang dibiayai hasil daripada pendanaan awam Sadaqa House itu akan memudahkan komuniti yang tinggal di rumah rakit di kawasan terbabit mendapat bekalan elektrik yang dijana cahaya matahari sepenuhnya.
Kaedah mesra alam itu turut menyediakan penjimatan kos dan akses kepada sumber tenaga elektrik yang lebih selamat kepada kediaman terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, akses kepada tenaga bersih dan selamat merupakan asas kepada kemajuan hidup komuniti.
“Sehubungan itu, kami berhasrat agar penduduk terlibat dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan selesa.
“BIMB sentiasa menyokong projek atau usaha-usaha yang mendorong kepada peningkatan taraf kehidupan masyarakat.
“Setakat ini, bank telah menyalurkan hampir RM300,000 dalam penyediaan panel-panel solar demi manfaat lebih 220 penduduk melalui kerjasama Sadaqa House dan UTM.
“Sokongan sistem tenaga solar yang mesra alam ini juga adalah sejajar dengan objektif global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan merujuk khusus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (“SDG”) ke-7 iaitu memastikan akses kepada tenaga mampu milik dan bersih,” katanya dalam kenyataan sempena majlis penyerahan Projek Tenaga Elektrik Solar Rumah Rakit Tanjung Surat yang berlangsung pada 28 Disember lalu di Masjid Az-Zahidin, Tanjung Surat, Johor.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Hamdan Ahmad.
Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan BIMB, Mohd. Nazri Chik, Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Wazir Mustafa ; Ketua Projek Tenaga Elektrik Solar Rumah Rakit Tanjung Surat UTM, Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden dan Ketua Kampung Tanjung Surat, Amin A Rahman.
Pada majlis tersebut, BIMB turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan rumah kepada keluarga kurang berkemampuan dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Az-Zahidin, Tanjung Surat.
Projek Sistem Tenaga Solar PV BIMB-UTM baru-baru ini telah menerima pengiktirafan ‘Sokongan Komuniti Cemerlang’ di Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.
Mengulas lanjut, Mohd. Muazzam berkata, pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih kepada UTM selaku rakan pelaksana atas sokongan berterusan, khasnya daripada aspek tenaga pakar dan teknologi yang dibangunkan.
“BIMB berharap agar dapat meneruskan usaha dalam menggalakkan amalan kehidupan lestari demi masa hadapan yang lebih cerah untuk semua menerusi inisiatif seumpama ini,” katanya.
Panel-panel solar dalam projek tersebut mampu menjana tenaga elektrik untuk bekalan selama 48 jam tanpa cahaya matahari.
Justeru, ia sesuai digunakan di kawasan pedalaman atau terpencil. Penggunaan panel solar itu juga akan memberi manfaat kepada alam sekitar kerana ia dapat mengurangkan pengeluaran karbon oleh set generator berkuasa diesel yang sebelum ini digunakan sebagai sumber kuasa elektrik oleh komuniti setempat.
Projek tersebut juga menjadi medan latihan kepada pelajar-pelajar Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas dan Pasir Gudang serta Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Port Dickson.
Projek usaha sama itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan projek perintis tenaga solar Eco-Balai Rawatan di Kampung Orang Asli Pucur, Kluang pada tahun 2017 dan Kampung Orang Asli Woh Intake Tapah, Perak pada tahun 2020 yang telah memberi manfaat kepada lebih 90 orang penduduk di kawasan terbabit. – UTUSAN











